GAZA: “Dalam keadaan kalian sedang diuji (bencana banjir di Malaysia), jangan lupa juga mendoakan kami (Palestin)”.
Demikian tulis Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman mengenai keadaan di bumi Palestin yang semakin gawat ketika ini.
Beliau turut berkongsi gambar melihat serpihan bom yang digunakan penjajah (rejim zionis) untuk membedil penduduk Gaza.
Menurutnya, Roket M117 seberat 343 kilogram itu buatan Amerika Syarikat (AS).
“Tak hairanlah bila tempat sejauh belasan kilometer dibedil pun kami boleh melihat kesan bebola api dan merasai gegarannya. Dan ia bukan bom yang paling berat pun yang digunakan. Saya ada tunjukkan juga roket Hellfire yang digunakan, Spike buatan Israel yang menyerupai Kornet buatan Russia dan senjata canggih lain.
“Keadaan di Palestin semakin gawat. Tahanan di dalam penjara sedang diseksa dengan sebab operasi menikam tentera penjajah dari dalam penjara.
“Keadaan di Gaza pun nampak tidak tenteram apabila janji-janji manis pasca perang lepas tidak ditunaikan. Dalam keadaan kalian sedang diuji, jangan lupa juga mendoakan kami,” tulisnya.