PETALING JAYA: Dua wanita yang juga mangsa bencana banjir mempertahan tindakan sekumpulan warga asing yang tular memecah sebuah pasar raya untuk mengambil bekalan makanan di Taman Sri Muda, Shah Alam, dekat sini.
Dalam klip video yang tular dalam media sosial, mereka mendakwa, tindakan warga asing tersebut disebabkan tekanan situasi iaitu ingin membantu masyarakat tempatan yang terperangkap di dalam banjir tanpa bantuan dan bekalan asas seperti makanan serta minuman.
Video itu memaparkan mangsa banjir menceritakan kembali detik-detik getir ketika menghadapi bencana tersebut.
Dakwa dua wanita di dalam klip video itu, berita mengenai warga asing mencuri makanan tersebut bukan untuk kepentingan diri mereka tetapi bagi membantu masyarakat sekitar yang tidak mempunyai bekalan asas.
“Jiran depan rumah bawa dapur dan tong gas naik ke bumbung, mereka masak nasi goreng lalu letak ke dalam bekas yang ada dan hulurkan kepada mangsa-mangsa untuk bagi kami tenang sedikit kerana kami lansung tak ada langsung bekalan makanan.
“Ini adalah satu pengalaman yang sangat bagus, baru kita dapat melihat rakyat untuk rakyat. Mereka tak kira tentang nyawa sendiri, mereka curi di Mydin dan bawa makanan dan air kepada mangsa. Tetapi sekarang keluar berita seolah-olah mereka curi untuk kepentingan mereka sahaja,” katanya.
Terdahulu, seramai 31 warga asing dilaporkan dicekup bagi membantu siasatan kes pecah dan ceroboh pasar raya Mydin di Taman Sri Muda, Seksyen 25, baru-baru ini.
Sementara itu, netizen memberi pelbagai reaksi berhubung perakra tersebut termasuk berterima kasih kepada warga-warga asing yang dianggap mempertaruh nyawa demi menyelamatkan masyarakat tempatan dan berharap pihak berkuasa mengambil kira situasi sebelum menjatuhkan hukuman. – UTUSAN ONLINE