PETALING JAYA : Walaupun cuaca kembali pulih dan tidak mengalami hujan seperti kelmarin, namun situasi banjir bertambah teruk apabila menyaksikan peningkatan mangsa banjir sebanyak 27,261 orang daripada 8,691 keluarga melibatkan lapan negeri.
Berbanding semalam, hanya 6,426 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka pihak berkuasa untuk menempatkan mangsa banjir.
Kuala Lumpur dan Perak menjadi dua negeri terbaharu terjejas banjir berbanding semalam enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Menurut Info Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat setakat 3 petang, Pahang mencatatkan negeri tertinggi mangsa banjir dengan 11,424 orang dan diikuti Selangor (9,770), Kelantan (4,163), Melaka (581), Kuala Lumpur (526), Negeri Sembilan (499) dan Terengganu (229) serta Perak (69) manakala 318 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka.
Keadaan itu dijangka bertambah apabila dipercayai lebih ramai mangsa khususnya terdiri daripada warga emas, wanita dan kanak-kanak masih terperangkap di rumah dan jalan raya serta masih menunggu bantuan pihak berkuasa untuk membawa mereka ke PPS.
Kejadian banjir di seluruh negara ekoran ekoran Lekukan Tropika membadai selatan Filipina apabila fenomena berkenaan mengukuhkan angin timur laut bertiup ke kawasan Semenanjung Malaysia dengan membawa lembapan tinggi di kawasan pantai timur dan menentasi Semenanjung Malaysia.
Semalam, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran bahaya (merah) dengan hujan sangat lebat dijangka berterusan berlaku melibatkan beberapa daerah negeri Perak seperti Manjung, Kinta, Perak Tengah, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.
Amaran tahap buruk (jingga) juga dikeluarkan membabitkan Kedah (Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama dan Kuala Kangsar) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut dan Kuantan).
Selain itu, amaran tahap waspada (kuning) dengan hujan berterusan dijangka berlaku melibatkan beberapa lokasi di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.- UTUSAN ONLINE