PETALING JAYA : Pengendali Harimau Malaya Tan Cheng Hoe terus buntu mencari ramuan terbaik untuk menjinakkan Vietnam sepanjang mengendali pasukan kebangsaan sejak 2017, menyaksikan enam pertemuan antara kedua-dua pasukan.
Pencapaian terbaik dalam pertemuan menentang skuad Naga Emas itu adalah pada 2018 iaitu final pertama Piala AFF dengan mengikat pasukan itu 2-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil dan lima lagi tewas apabila pertembungan terbaharu adalah tewas 0-3 dalam aksi kumpulan B Piala AFF 2020 di Stadium Bishan, semalam.
Cheng Hoe tidak menganggap kekalahan tersebut berpunca daripada kesilapan taktikal sebaliknya sifat pemainnya yang terlalu menghormati lawan menjadi antara faktor skuad kebangsaan tidak berjaya mendapatkan keputusan positif pada aksi ketiga.
Malah, kecederaan yang dialami kapten Harimau Malaya Aidil Zafuan Abd Radzak yang terpaksa digantikan dengan Dominic Tan pada minit ke-24 juga menjejaskan rentak permainan pasukan.
“Bukan satu kesilapan taktikal tapi pemain lebih berjaga-jaga pada separuh masa pertama dan kita tahu mungkin pemain kita terlalu menghormati barisan pemain Vietnam.
“Sebab itu kita hari ini (semalam), berundur (bermain) ke belakang, terlalu banyak bertahan. Terpaksa membuat penggantian awal Aidil juga sedikit sebanyak menjejaskan rentak permainan pasukan.
“Sudah pasti dengan kemasukan dua pemain iaitu R Kogileswaran dan Guilherme De Paula (pada babak kedua) sedikit sebanyak memberi kita ruang untuk bergerak ke hadapan,” ujarnya.
Kekalahan itu meletakkan Harimau Malaya turun dua anak tangga biarpun sebelum ini mendahului kumpulan B
dengan mengumpul enam mata selepas menundukkan Kemboja 3-1 dan Laos (4-0).
Vietnam dan Indonesia yang turut mengumpul enam mata menghuni kedudukan kedua dan teratas kumpulan kerana memiliki kelebihan dari segi perbezaan gol dan perlawanan.
Tambah Cheng Hoe, kekalahan itu menjadi pengajaran besar buat anak buahnya untuk bangkit pada aksi terakhir kumpulan berdepan Indonesia pada 19 Disember ini yang mana ia akan menentukan nasib sama ada Harimau Malaya pulang awal atau ke separuh akhir.
“Ia (kalah dengan Vietnam) bukan mengejutkan kerana kami sudah banyak kali berdepan Vietnam dan kami tahu bagaimana cara mereka bermain, taktikal mereka.
“Sudah pasti jika kami kami memiliki skuad lengkap, kami akan lebih yakin berdepan Vietnam dan disebabkan situasi Covid-19 serta masalah kecederaan, saya fikir moral pemain menurun,” jelasnya.