Che Ta, Zain Saidin: Meterai semula janji kasih, sayang - Utusan Malaysia

Che Ta, Zain Saidin: Meterai semula janji kasih, sayang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI mereka yang mengikuti perjalanan dan kehidupan pasangan Rozita Che Wan dan Zain Saidin, pastinya tidak berasa pelik dengan tindak-tanduk kedua-dua mereka yang gemar berhajat naik pelamin saban tahun.

Bahkan sejak tahun 2019, kedua-duanya seakan sudah menjadikan persandingan semula sebagai satu majlis wajib diadakan sebagai meraikan ulang tahun perkahwinan mereka.

Pun begitu, tahun ini menyaksikan sedikit kehambaran pada hasrat aktres yang selesa dikenali sebagai Che Ta ini lantaran tahun ini dia sekeluarga diuji dengan pengalaman Covid-19.

“Pandemik pun, kami tetap nak bersanding semula. Tahun ini sempat juga melaram dengan baju songket warna merah hati rekaan Man Kajang untuk sesi fotografi.

“Tahun lalu kalau ada yang masih ingat, kami menggayakan songket berwarna hijau rekaan pereka fesyen sama. Masa itu, fotografi dibuat di Langkawi dalam suasana kenduri dan persandingan ala kampung.

“Sampai siap diarak dengan paluan kompang. Zain pun siap bertanjak dan berkeris. Kawan baik saya ketika itu jadi ‘ekstra’ tukang palu kompang. Cuma majlis kali ini memang cukup sederhana kerana situasi semasa pandemik. Tapi tetap nak rasai mood jadi pengantin dengan mengenakan gaun rona putih,”katanya.

Meraikan majlis ulang tahun perkahwinannya di sebuah lokasi eksklusif di ibu kota, pelakon ini meluahkan rasa syukur dan tidak menyangka usia perkahwinannya kini sudah memasuki tahun kelapan.

“Pejam celik pejam celik, tahun kelapan usia perkahwinan kami. Tempoh itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui. Biasalah dalam tempoh itu, ada gaduh ‘manja’ dan rajuk. Tetapi tak lama, lepas itu sejuklah.

“Pandemik ini juga menguji, tapi baik saya dan suami, kami cuba mengharunginya sebaik mungkin.

“Pernah ada ketika saya terguris hati dan sentap dengan suami, dia datang buat kejutan bawa jambangan bunga ketika saya menjalani penggambaran di Kedah. Pendek kata pada fasa sekarang memang kena kuat bertahan dan bertolak ansur,” katanya.

Mana gambar Zain?

Tidak cuma itu, kata Che Ta, dia juga sedar sehingga kini ramai yang bertanyakan mengapa dia tidak begitu sering berkongsi gambar suaminya yang juga merupakan pelakon itu di media sosial.

Maklum sahajalah, berbanding Zain, Che Ta lebih selesa berkongsi gambarnya sendiri atau mempromosikan kerja-kerjanya di media sosial.

Maka, apabila perkara itu berlaku, mulalah ramai hadir dengan tanggapan sendiri dan berfirasat bahawa dia dan Zain sedang menuju ambang keretakan rumah tangga.

Perkara itu ditempelak oleh Che Ta dan menganggap orang luar boleh hadir dengan apa sahaja justifikasi namun asalkan dia dan Zain serta keluarga tahu apa yang mereka lalui dan bahagia sahaja, itu sudah cukup.

“Mungkin ada yang tak tahu bahawa Zain ini bukanlah seorang kaki bergambar. Berbeza dengan saya, semua orang tahu saya pula memang suka bergambar dan melaram. Hampir setiap hari ada sahaja hantaran di Instagram yang saya muat naik.

“Tahun lalu masa sambutan ulang tahun hari lahir saya, tak nampak kelibat suami pun ada yang buat kesimpulan itu ini. Hakikatnya suami terikat dengan penggambaran drama.

“Dalam hal begini saya tak boleh kawal apa pandangan orang lain. Saya ambil pendekatan tidak peduli kerana orang hanya nampak luaran dan apa yang saya kongsi di IG saja. Saya bersetuju dengan pandangan yang anggap soal kebahagiaan atau kesengsaraan itu tak perlu dipamer di media sosial,” katanya.

Untuk info, Che Ta dan Zain bernikah pada 11 Disember 2013 selepas berkenalan ketika membintangi drama Kiah Pekasam pada tahun 2009.

Pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan, Aaisyah Dhia Rana, tujuh tahun.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Che Ta turut memiliki dua anak lelaki daripada perkahwinan terdahulunya iaitu Ammar Effendy, 25, dan Aniq Ezzra, 23.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya