GOPENG: Perak memperkenalkan produk pelancongan baharu yang berasaskan aktiviti keluarga iaitu Cengkerik Eco Park di Taman Herba Gopeng dekat sini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pelancongan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, Cengkerik Eco Park menyediakan taman permainan eko, petting zoo, memanah, all terrain vehicle atau ATV, rumah burung, perkhemahan dan rumah ular.
Menurutnya, produk itu mampu merancakkan lagi industri pelancongan negeri dan menambah nilai kepada aktiviti yang terdapat di Gopeng khususnya untuk kluster Geopark Lembah Kinta.
“The Treasure adalah operator baharu untuk Taman Herba yang mana terdapat beberapa pengusaha lain termasuk Cengkerik Eco Park ini.
“Cengkerik Eco Park ini berada di dalam satu kawasan yang selamat untuk anak-anak bermain selain beberapa lagi aktiviti lain di sini,”katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Kucing Jalanan 2021 di Cengkerik Eco Park, Taman Herba Gopeng, di sini hari ini.
Nolee Ashilin berkata, produk pelancongan baharu itu juga akan merancakkan lagi aktiviti pelancongan di Taman Herba sedia ada.
Katanya, selain aktiviti di dalam Cengkerik Eco Park, beberapa perkhidmatan lain turut disediakan di sekitar Taman Herba itu sendiri seperti berkayak, ATV, juga pelbagai aktiviti kanak-kanak termasuk perpustakaan digital.
Sementara itu, mengenai program Festival Kucing Jalanan, Nolee Ashilin berkata, program dijayakan Meow Foodtruck dengan menyediakan pelbagai aktiviti antaranya pertandingan kucing kurang upaya, kucing berhias, kucing unik dan kucing makan paling laju.
Menurutnya, program seperti ini wajar mendapat sokongan dalam menangani isu haiwan jalanan, peliharaan termasuk anjing dan kucing.