Cabrera angkat kaki dari JDT - Utusan Malaysia

Cabrera angkat kaki dari JDT

GONZALO CABRERA - IHSAN JOHOR SOUTHERN TIGERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pemain sayap kiri, Gonzalo Cabrera muncul pemain pertama Johor Darul Ta’zim (JDT) yang akan meninggalkan kelab setelah berakhirnya saingan Liga Malaysia musim ini. 

Perkara itu diumumkan menerusi satu hantaran di Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers hari ini. 

JDT mengesahkan tidak akan menyambung kontrak pemain kelahiran Argentina itu bagi mengharungi kempen Liga Malaysia dan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan.

Menerusi kenyataan itu, turut dimuat naik ucapan terima kasih kepada Cabrera atas jasanya sepanjang menyarung jersi Harimau Selatan sejak 2017.

“Ia pengalaman bersama yang akan sentiasa dikenang, memenangi pelbagai trofi dan menjaringkan begitu banyak gol untuk menjadi penjaring terbanyak kelab berkenaan.

“Cabrera menjaringkan 43 gol sepanjang bersama JDT dalam saingan Liga Super dan juga 66 gol dalam semua pertandingan menerusi 152 penampilan sejak musim 2017.

“Sudah tiba masanya untuk berpisah tapi ia penghormatan yang amat besar. Terima kasih sekali lagi untuk setiap detik yang indah dan kami ucapkan selamat maju jaya,” kata kenyataan itu.

Sepanjang kariernya bersama JDT, Cabrera membantu pasukan muncul juara liga sejak 2017 hingga 2021 manakala memenangi Piala Sumbangsih dari 2018 hingga 2021.

Pemain lincah berusia 32 tahun itu turut membantu skuad Harimau Selatan muncul juara Piala Malaysia 2017 dan 2019.

Sebelum ini, nama Cabrera dicanang untuk dijadikan pemain naturalisasi bagi memperkuat skuad Harimau Malaya setelah berada di negara melebihi tempoh lima tahun.

Ketika ini, pemain pertahanan yang ditandatangani awal tahun ini, Shane Lowry mengisi slot kuota Asia bagi JDT.

Berita perpindahan Cabrera itu memberi bayangan bahawa JDT akan membawa masuk pemain import baharu bagi menguatkan jentera serangan namun belum ada sebarang perkembangan terkini mengenainya.

Pada 2 Disember lalu, pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut memberitahu terdapat pemain dalam pasukan Harimau Selatan akan dilepaskan dan tidak lagi bersama kelab untuk saingan Liga Malaysia musim depan.

Bagaimanapun, pemilik kelab JDT itu memberitahu berapa ramai pemain akan meninggalkan kelab bagi memberi ruang untuk membawa masuk pemain baharu.

“Ada beberapa pemain akan dikekalkan, ada yang akan dipinjamkan keluar dan ada pemain yang akan dilepaskan. Pengarah Teknikal JDT akan membuat pengumuman kepada para penyokong dengan lebih mendalam lagi nanti,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN