KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, Datuk Seri Bung Moktar Radin pernah meminta komisen RM3.5 juta daripada seorang ejen pelaburan sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, 43, berkata, Ahli Parlimen Kinabatangan itu meminta komisen tersebut dalam satu pertemuan di sebuah hotel di Jalan Ampang di sini pada 4 Mei 2015.
Butiran tersebut yang terkandung dalam rakaman percakapannya ketika disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes rasuah Bung Moktar, bagaimanapun bercanggah dengan keterangan lisannya di mahkamah minggu lalu.
Sebelum ini, saksi pendakwaan ke-24 itu memberi keterangan bahawa dalam pertemuan tersebut Bung Moktar tidak meminta komisen RM3.5 juta, sebaliknya beliau sendiri (Madhi) bersetuju agar wang RM2.2 juta diberikan kepada isteri tertuduh, Datin Seri Zizie Izette A. Samad sebagai wang pengenalan.
Madhi turut menafikan wang RM2.2 juta yang dibayar kepada Zizie Izette adalah sebenarnya untuk Ahli Parlimen Kinabatangan itu.
Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menyoal balas saksi itu yang dianggap sebagai saksi belot (hostile witness) berikutan keterangannya di mahkamah bercanggah dengan rakaman percakapan semasa disoal siasat SPRM.
Terdahulu, ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How, Madhi menyatakan pihaknya memberikan empat percakapan pada 2016 iaitu pada 13 Julai, 14 Julai, 25 Julai dan 14 Oktober manakala rakaman terakhir diberikan hampir lima tahun kemudian iaitu pada 4 Februari lalu.
Ketika diasak secara bertubi-tubi oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Sophian Zakaria, saksi berkenaan mengaku wujud percanggahan yang sangat material di antara keterangannya di mahkamah dengan empat percakapan yang diberikan kepada pihak SPRM pada tahun 2016.
“Saya memberikan versi yang berbeza kerana `ingat-ingat lupa’ selain tertekan ketika sesi soal siasat pada tahun 2016, namun saya berasa amat lega dan tidak lagi takut ketika memberi percakapan terakhir pada Februari lalu,” ujar ejen pelaburan itu.
Menurut Madhi, selepas tempoh hampir lima tahun, beliau baru mempunyai kekuatan untuk mengubah percakapan yang diberikannya sebelum ini.
Pendakwa: Saya katakan, rakaman percakapan terakhir pada 4 Februari lalu adalah rekaan kamu semata-mata?
Saksi: Tidak setuju.
Pendakwa: Percakapan itu hanya mempunyai satu matlamat iaitu untuk menyelamatkan kedua-dua tertuduh?
Saksi: Tidak setuju.
Pendakwa: Saya katakan, kamu bukan saksi yang boleh dipercayai?
Saksi: Tidak setuju.
Sementara itu, ketika menjawab soalan Mohd. Sophian, Madhi memberitahu beliau tidak pernah diugut, dipaksa atau dijanjikan sesuatu ketika memberikan kenyataan kepada SPRM sewaktu siasatan kes rasuah Ahli Parlimen Kinabatangan itu.
Pendakwa: Kamu tidak diugut, dipukul atau dipaksa dan boleh bergerak ke sana ke mari, tetapi mengapa selepas hampir lima tahun, kamu memberi keterangan berbeza di mahkamah?
Saksi: Selama tempoh itu, saya mencari kekuatan kerana saya tidak boleh buat kerja. Saya tidak berbohong kerana memberi keterangan di mahkamah apa yang saya fikir ketika itu.
Madhi dalam nada sebak turut mengaku berasa tertekan kerana disoal siasat secara berlarutan dalam bilik bawah tanah, tambahan pula ketika itu bulan Ramadan.
Mohd. Sophian turut meminta saksi itu menjelaskan tindakannya memberikan keterangan berbeza kerana butiran yang diberikan kepada SPRM sebelum itu melibatkan masa depan seorang pemimpin politik yang kemudian didakwa di mahkamah.
“Ketika soal siasat kamu telah diberikan amaran supaya bercakap benar, tiba-tiba kamu datang mahkamah minggu lepas dan cerita benda lain,” ujar pendakwa.
Bagaimanapun Madhi menyatakan, keterangan diberi berdasarkan apa yang diingati dan ingatan yang baik timbul jika berada dalam keadaan tenang.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar, iaitu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, dituduh menerima rasuah daripada Madhi menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.
Tertuduh juga didakwa menerima suapan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual, Norlaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab yang sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.
Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung 20 Disember ini. – UTUSAN ONLINE