TASEK GELUGOR: Penah tular dalam media sosial khususnya Facebook sekitar lima atau enam tahun lepas gara-gara keindahan alamnya, nama Bukit Katak yang terletak berhampiran Kampung Guar Petai di sini, bagaimanapun ‘tenggelam’ sejak kebelakangan ini.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 lebih setahun lalu turut menjadikan kawasan tasik dan kolam kecil yang terhasil daripada tapak kuari terbiar itu ‘sunyi’ daripada sebarang aktiviti manusia ketika itu.
Jika ada sekalipun, rata-rata pengunjungnya terdiri daripada kalangan penduduk setempat yang datang untuk memancing atau sekadar bersantai sambil menikmati pemandangan matahari terbenam.
Kini, apabila hampir semua sektor kembali beroperasi seperti biasa dan tiada lagi sekatan pergerakan, kawasan yang mendapat jolokan ‘Danau Toba Mini’ kerana airnya yang berwarna seakan-akan biru kehijauan itu kembali menerima kehadiran pelancong khususnya mereka yang gemar bergambar.
Boleh dikatakan sejak bulan lepas, ada sahaja yang mengunjungi kawasan itu sama ada untuk berkelah, bergambar, memancing serta menghayati keindahan panoramanya.
Bagi Mohd. Khairil Mohd. Affendi, 18, dari Kulim, Kedah, ini kali pertama dia mengunjungi Bukit Katak selepas berhasrat ke situ sejak kisah tasik dan kolam kecil tersebut tular sebelum ini.
“Tak sangka menjadi juga pelan untuk datang walaupun saya dan rakan-rakan hanya merancang ke sini secara spontan beberapa jam sebelum itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Rakannya, Mohd. Amin Mohd. Nor Zambri, 18, pula berharap kerajaan negeri khususnya berusaha memajukan kawasan tumpuan itu menjadi salah satu lokasi tarikan pelancong pada masa depan.
“Pada pendapat saya, cukuplah jika laluan keluar dan masuk ke sini diperelokkan selain disediakan infrastruktur asas seperti tandas,” katanya.
Dalam pada itu, bagi Jeremy Koo, 35, dari Ipoh, Perak, dia hampir tersesat ketika dalam perjalanan untuk ke Bukit Katak walaupun menggunakan aplikasi penunjuk jalan.
“Rupanya jalan utama yang ditunjukkan tidak dapat dilalui pada masa ini. Apapun, saya rasa berbaloi kerana dapat sampai juga ke sini walaupun agak terlewat kerana pemandangannya sangat cantik,” katanya yang ditemani isterinya, Susan Koo, 32. – UTUSAN ONLINE