KOTA BHARU: Selepas digempur secara besar-besaran oleh pihak berkuasa kelmarin, tiada lagi kumpulan belia dilihat menjaja minuman atau makanan ringan di persimpangan lampu isyarat sekitar pusat bandar ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, aliran trafik di lokasi panas seperti sekitar persimpangan lampu isyarat Jalan Kuala Krai, Taman Maju dan Pasir Hor ‘lancar’ tanpa sebarang kelibat penjaja terbabit.
Sementara itu, salah seorang penjaja enggan dikenali berkata, walaupun runsing memikirkan punca rezeki yang sudah terputus, dia terpaksa berhenti menjaja di jalanan kerana gerun kemungkinan disaman.
Kata pemuda berusia 25 tahun itu, dia merupakan graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), namun, masih belum dipanggil untuk ditempatkan bertugas di mana-mana sekolah selepas tamat pengajian.
“Saya sudah berusaha mencari kerja tetapi dalam suasana sekarang, banyak syarikat tidak mahu mengambil pekerja baharu. Jadi, saya beranikan diri ambil upah menjaja air minuman dan makanan ringan.
“Saya tahu menjaja persimpangan lampu isyarat perbuatan salah, tetapi, saya terdesak untuk mencari wang kerana tidak mahu terus menyusahkan keluarga,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, pemuda mahu dikenali sebagai Shafiq, 17, berkata, upah menjaja minuman dan makanan ringan diterimanya, iaitu RM50 sehari selama ini membantu meringankan beban ibunya yang menyara keluarga seorang diri.
“Dengan usia saya yang muda dan tidak ada pengalaman langsung ini, memang susah orang nak ambil saya bekerja. Mujurlah ada juga peniaga sudi upah saya menjaja minuman dan makanan ringan.
“Hari ini, saya sudah tidak berani keluar menjaja seperti biasa kerana semalam kawan saya telah disaman sebanyak RM300. Manalah saya nak cari duit sebanyak itu kalau kena saman,” katanya.
Dalam operasi pihak polis dan MPKB-BRI semalam, puluhan penjaja jalanan di tiga persimpangan lampu isyarat terbabit dilaporkan lari bertempiaran semata-mata mengelak diri disaman dan barang jualan dirampas.
Difahamkan, ada antara mereka sanggup berlari sejauh satu kilometer bersama barang jualan masing-masing sebelum masuk ke kawasan kampung dan bersembunyi di dalam semak selama kira-kira dua jam.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, polis mengeluarkan saman kepada 33 penjaja berusia 13 hingga 40 tahun, selain merampas tujuh motosikal roda tiga yang digunakan untuk berniaga.