SHAH ALAM : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tidak pernah memilih kasih dalam melakukan operasi menyelamat mangsa banjir.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, perkara itu sama sekali bertentangan dengan komitmen mereka sebagai anggota penyelamat.
Kata beliau, pihaknya sedaya upaya menyalurkan bantuan kepada semua tidak kira warganegara ini mahupun warga asing.
“Kita tidak pernah pilih kasih. Sedangkan warga asing pun kami selamatkan kerana tahu nyawa mereka dalam bahaya,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Bencana di Taman Sri Muda, Shah Alam di sini hari ini.
Dalam pada itu, kata Mohammad Hamdan, keengganan segelintir mangsa berpindah awal menyebabkan ramai mangsa banjir yang terkandas.
Jelasnya, pihaknya telah pun memberi amaran namun mereka menganggap kejadian banjir itu terkawal memandangkan banjir kerap melanda dengan paras air yang rendah.
“Disebabkan perkara itu kami telah keluar dari kawasan tersebut bagi membantu kawasan lain yang terjejas.
“Namun, tidak sangka, air tiba-tiba naik paras dada dalam tempoh satu jam. Ketika itu, kami telah pun berada di lokasi lain dan menyebabkan bantuan di situ lambat tiba,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE