Bomba Sabah siap siaga hadapi banjir - Utusan Malaysia

Bomba Sabah siap siaga hadapi banjir

MD. ALI ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah telah meletakkan aset-aset di kawasan berisiko sebagai persiapan menghadapi kemungkinan berlaku banjir susulan luruan monsun yang dijangka bermula esok.

Luruan monsun dengan membawa angin sejuk dari Siberia dijangka mengakibatkan  hujan berterusan terutama di kawasan pantai timur dan utara Sabah. Ia berpotensi mengakibatkan berlakunya banjir, tanah runtuh dan lain-lain kecelakaan berkaitan.

Pengarah JBPM Sabah, Md. Ali Ismail berkata, pihaknya dalam keadaan bersiap siaga dan telah meletakkan aset di kawasan strategik lebih awal serta membuat pemantauan dari semasa ke semasa.

“Kita akan sentiasa berkoordinasi dengan agensi-agensi lain di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah/Negeri untuk bertindak balas sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini selari dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan mekanisme pengurusan bencana di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Md. Ali berkata, orang ramai yang tinggal di kawasan berisiko perlu lebih peka dan sentiasa berwaspada.

Bagi individu yang merancang untuk menjalankan aktiviti riadah seperti berkelah, berkhemah di kawasan pinggiran sungai atau ingin melakukan aktiviti pendakian disaran untuk menangguhkan dahulu aktiviti tersebut bagi mengelakkan berlakunya malapetaka di luar jangka.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan ramalan hujan berterusan susulan luruan Monsun Timur Laut pada 27 hingga 31 Disember di enam negeri termasuk pantai timur Sabah, barat Sarawak, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Justeru, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengingatkan semua agensi untuk bersiap sedia menghadapi situasi tersebut yang mungkin boleh menyebabkan bencana banjir khususnya di kawasan pantai timur Sabah dan barat Sarawak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya