PETALING JAYA: Seramai 19 individu termasuk lima kanak-kanak berdepan detik cemas apabila berlaku tanah runtuh di jalan dilalui mereka, petang semalam.
Dalam kejadian berasingan itu, dua lelaki cedera ringan apabila dihempap pokok manakala 14 lagi selamat.
Difahamkan, kesemua mangsa dalam perjalanan dari Langat ke arah Kuala Klawang sebelum kenderaan mereka terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di lokasi kejadian.
ANTARA 19 mangsa yang terperangkap di Genting Peras- Kuala Klawang selepas berlaku tanah runtuh di laluan tersebut.- IHSAN BOMBA
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 4.32 petang dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih dibantu STORM dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, operasi pertama dilakukan terhadap dua mangsa berusia 22 dan 23 tahun yang dihempap pokok di lokasi kejadian.
“Mereka dibawa keluar pada pukul 1.34 pagi. Kemudian, kami turut menyelamatkan 17 mangsa yang terperangkap akibat kejadian itu laluan sama namun lokasi berasingan.
“Operasi penyelamatan itu mengambil masa kira-kira 15 jam iaitu lima jam untuk masuk ke lokasi kejadian manakala hampir 10 jam untuk membawa mangsa keluar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kesemua mereka disahkan selamat tanpa kecederaan. – UTUSAN ONLINE