KOTA KINABALU: Bimbang tidak terpilih memegang jawatan penting di dalam parti antara punca beberapa pemimpin tertinggi Parti Cinta Sabah (PCS) bertindak keluar parti pada hari ini.
Presidennya, Datuk Seri Anifah Aman berkata, rombakan yang bakal dilakukan dalam PCS yang dijadualkan berlaku pada tempoh terdekat mungkin mendorong pemimpin-pemimpin ini bertindak sedemikian.
Malah, beliau menyangkal dakwaan mengatakan PCS bakal terkubur dalam arena politik tempatan susulan tindakan sebegitu.
“Parti ini akan kekal utuh dan semakin diterima oleh setiap rakyat di negeri Sabah.
“Sebagai ahli politik yang matang, kita tidak boleh halang mereka untuk meninggalkan parti dan itu adalah hak mereka untuk membawa haluan masing-masing dalam arena politik negara.
“Namun, saya juga tegaskan di sini, PCS tetap berdiri utuh dalam terus memperjuangkan hak-hak Sabah terutamanya berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bekas Menteri Luar berkata, terdapat desakan daripada akar umbi untuk membuat rombakan parti bagi memantapkan hala tuju PCS dalam memperjuangkan naratif rakyat Sabah.
“Saya turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih dan semoga jaya kepada mereka walaupun berlainan platform nanti, saya berharap usaha memperjuangkan hak rakyat Sabah akan terus diutamakan,” katanya.
Hari ini, beberapa pemimpin tertinggi PCS seperti Naib-naib Presiden PCS, Datuk Ewon Ebin dan Amru Abdul Kadir, Ahli Jawatankuasa Tertinggi PCS, Datuk Kalakau Untol dan beberapa lagi pemimpin lain mengumumkan keluar daripada parti.
Anifah berkata, kebanyakan pemimpin PCS yang bertindak keluar pada hari ini terdiri daripada mereka yang bertanding dan hilang deposit semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah dan beberapa pilihan raya sebelum ini.
Ewon, yang juga bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan keputusan meninggalkan parti itu diambil berikutan aktiviti parti seolah-olah terhenti selepas kekalahan PCS pada PRN Sabah.
Beliau yang mengetuai gerakan keluar parti itu berkata, mereka mendapat tekanan daripada ahli-ahli parti dan penyokong akar umbi yang ingin mengetahui hala tuju parti tersebut. -UTUSAN ONLINE