PETALING JAYA: Sepanyol, India, malah Amerika Syarikat (AS) pun sudah memiliki juara badminton dunia, namun selepas 44 tahun menanti Malaysia masih kempunan untuk merangkul kejuaraan.
Sama seperti pemburuan pingat emas Sukan Olimpik yang tampak ‘dekat tetapi jauh’, pencapaian terbaik pemain negara hanya bergelar naib juara.
Tahun ini, gangsa menjadi gelaran tertinggi yang diraih Malaysia selepas langkah beregu lelaki profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin tersekat pada separuh akhir setelah tumpas 13-21, 9-21 kepada pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi di Huelva, Sepanyol kelmarin.
Itu bermakna, sudah enam tahun Malaysia tidak memiliki wakil dalam final Kejohanan Dunia iaitu sejak kali terakhir Datuk Lee Chong Wei muncul naib juara di Jakarta, Indonesia pada 2015 selepas tumpas kepada Chen Long.
Malaysia juga tidak pernah memiliki juara sejak kejohanan diperkenalkan pada 1977, dengan Chong Wei kekal pemain terbaik dalam sejarah pertandingan berprestij itu apabila muncul naib juara 2011, 2013 dan 2015.
Situasi itu meresahkan peminat sukan tanah air, terutama selepas pemain yang menjadi sandaran, Lee Zii Jia terus mengharungi prestasi tidak menentu, selain dibelenggu isu kecederaan sejak bergelar juara All England, Mac lalu.
Selain Zii Jia, yang menarik diri akibat tapak kaki melecet ketika menentang Anders Antonsen dari Denmark di suku akhir, prestasi ‘yo yo’ Aaron Cheah-Soh Wooi Yi sejak meraih pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 juga membimbangkan.
Tahun depan adalah musim mencabar buat badminton negara dengan dua temasya besar akan berlangsung iaitu Sukan Asia di Hangzhou, China (10 hingga 25 September) dan Sukan Komanwel di Birmingham, England (28 Julai hingga 8 Ogos).
Kejohanan Dunia pula akan diadakan di Tokyo dari 21-28 Ogos, manakala Piala Thomas dijadual berlangsung di Bangkok.