Bicara Muhammad Shafee tangguh Feb. 2022 - Utusan Malaysia

Bicara Muhammad Shafee tangguh Feb. 2022

MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang didakwa atas empat pertuduhan membabitkan penerimaan wang RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersambung Februari 2022.

Tarikh-tarikh baharu itu ialah tarikh-tarikh perbicaraan baharu iaitu pada 10, 15 dan 22 Februari dan akan bersambung pada 1, 28 dan 29 Mac 2022.

Tarikh tersebut ditetapkan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Muhammad Jamil Hussin pada prosiding pengurusan kes itu hari ini yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz dan peguam bela, Sarah Abhishegam mewakili Muhammad Shafee.

Muhammad Shafee juga hadir pada prosiding hari ini namun tidak dapat dipastikan sama ada status MySejahtera beliau telah bertukar daripada kuning (kontak kasual) kepada biru (risiko rendah).

Selasa lalu, Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes penyelewengan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Najib dimaklumkan bahawa Muhammad Shafee telah diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) di rumah sehingga 20 Disember ini.

Semalam, peguam terbabit tidak dapat hadir ke perbicaraan Najib atas alasan warna status MySejahtera Muhammad Shafee masih berwarna kuning dan tidak dibenarkan masuk ke premis mahkamah. 

Pada 10 Disember lalu, perbicaraan kes Muhammad Shafee ditangguhkan selepas peguam terbabit berada dalam kuarantin selepas menjadi kontak rapat kepada anaknya Muhammad Farhan yang disahkan positif Covid-19.

Pada 13 September 2018, Muhammad Shafee didakwa atas dua pertuduhan pengubahan wang haram RM9.5 juta yang didakwa diterimanya daripada Najib.

Beliau didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta lagi pada 17 Februari 2014 di CIMB Bank Bhd, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a)  Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Muhammad Shafee juga didakwa atas dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015 di LHDN cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini.

Sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara maksimum satu tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda daripada jumlah hasil aktiviti haram.

Pada peringkat ini, seramai enam orang saksi telah dipanggil memberi keterangan. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya