PETALING JAYA: Pelakon, Fezrul Khan, 39, mengaku sebelum ini tidak pernah terfikir untuk terjun ke bidang pertanian.
Kata empunya nama sebenar Fezrul Khan Junaidi Khan ini, penglibatan dalam bidang tersebut berlaku spontan tanpa sebarang perancangan awal.
“Bermula setahun lalu, secara spontan. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kita semua di rumah. Jadi saya kaji pasal pokok. Ambil sayur dari peti ais, semai.
“Masa itu saya belajar pasal tumbuhan. Macam mana nak jaga, elak serangga. Memang seronok,” katanya yang memiliki kebun di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Fezrul berkata dia nampak masa depannya dalam bidang pertanian. Katanya, jika benar-benar diusahakan, pasti membuahkan hasil.
“Saya tanam buah-buahan seperti cempedak, durian, nangka dan pisang.
“Tapi, untuk tahun pertama saya fokuskan kepada penanaman pisang terlebih dahulu,” ujarnya.
Disoal tentang lakonan, Fezrul mengesahkan di masih lagi menerima tawaran dan aktif dalam bidang berkenaan. Bahkan, pelakon yang pernah membintangi filem SH3 ini akan memulakan penggambaran teledrama terbaharu bermula esok.
“Kali ini saya memegang watak sebagai pegawai polis yang hidup sekitar tahun 1957.
“Watak ini mencabar kerana memerlukan saya berdialog seperti orang zaman itu. Jadi saya kaji. Apa yang saya tahu, orang dahulu tidaklah berbahasa baku. Bercakap pun seperti kita yang hidup masa sekarang.
“Watak ini lain sedikit. Saya tonton filem-filem lama sebagai rujukan. Agak mencabar juga,” ceritanya.