BACHOK: Bergelumang selut tebal untuk menangkap ikan keli dan haruan di sawah menjadi aktiviti sangat dinantikan rakyat di negeri ini, termasuk golongan wanita setiap kali musim tengkujuh tiba.
Maka tidak hairanlah program ‘Igap Ikey Daley Baruh’ di kawasan bendang di Kampung Budi, Tawang, di sini baru-baru ini tetap meriah, meskipun para peserta perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Tambah meriah apabila kira-kira 50 peserta program itu tampil dengan pakaian tradisi orang Kelantan iaitu berkain pelikat dan bersemutar bagi golongan lelaki serta berselendang bagi perempuan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, wakil penganjur, Wan Abdullah Hassan Wan Azmi berkata, memandangkan pandemik Covid-19 belum reda, pematuhan SOP sangat ditekankan pihaknya dalam program itu kali ini.
“Tahun lepas program tidak dapat diadakan kerana ancaman Covid-19. Tahun ini, kita buat atas permintaan penduduk namun dengan pematuhan SOP yang ketat.
“Program ini masih dapat sambutan orang ramai biarpun banyak kekangan. Malah ada peserta bersama anak isteri masing-masing sanggup datang dari jauh untuk menyertai program ini,” katanya ketika ditemui.
Menurut Wan Abdullah, bagi menjayakan program tersebut, sebanyak 200 ekor ikan keli dan haruan dilepaskan ke dalam sawah dan para peserta dikehendaki menangkap sebanyak mungkin ikan dalam tempoh masa ditetapkan.
“Program ini tiada hadiah dan tidak ada pemenang. Sebaliknya hadiah untuk peserta adalah hasil tangkapan mereka itu boleh dibawa pulang sebagai lauk untuk santapan bersama keluarga masing-masing.
“Paling penting objektif program ini tercapai iaitu untuk merapatkan ukhwah dan mengembalikan suasana setiap kali musim tengkujuh tiba, sekali gus dijadikan tarikan pelancongan di Kelantan,” katanya.
Sementara itu, seorang peserta wanita, Asiah Che Man, 44, berkata, keluarganya menaiki kereta sejauh 20 kilometer ke Kampung Budi semata-mata mahu menyertai program tersebut yang diiklankan menerusi media sosial.
“Syukur dan rasa seronok apabila keluarga kami dapat menangkap lebih 10 ekor ikan keli dan haruan. Saya rancang untuk menyediakan hidangan masak lemak daun kesong untuk suami dan anak-anak,” katanya. – UTUSAN ONLINE