GAZA: “Sekarang baru saya tahu bagaimana perasaan kalian bila Palestin diserang dan kalian dari jauh berharap dapat hadir sendiri serta membantu penduduk di sini”.
Demikian tulis Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman mengenai titik persamaan bencana banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia ketika ini dengan bumi Palestin yang sentiasa bergolak ekoran kekejaman zionis.
Menurut beliau, perasaan antara Gaza dan Malaysia ketika ini sama, menyelamatkan nyawa dan membina rumah yang musnah selain mengirim bantuan wang dan doa.
“Dua, tiga hari ini mimpi saya penuh dengan keadaan banjir dan saya bermimpi berada dalam operasi menyelamat dan memulih. Tak senang duduk, tak lena tidur.
“Selalunya semangat kekeluargaan rakyat Malaysia saya dapat rasakan bila kalian bersuara untuk Palestin, tak ada perbezaan politik, warna kulit dan agama. Tetapi dalam hati, teringin sekali nak bergerak bahu ke bahu bersama kalian di lapangan negara sendiri, membantu anak watan dan merasai kelazatan persaudaraan dan kecaknaan itu secara berdepan.
“Kalian sangat beruntung bila hikmahnya, dengan ujian ini, Allah buka peluang berkhidmat, menghabiskan waktu, harta dan tenaga untuk orang lain, menjadikan diri milik masyarakat. Sebab itu yang mampu, rebut peluang ini. Humanitarian work starts at home. Kalau memang suka membantu, dicampak ke mana pun insya-Allah akan menjadi golongan yang disebut Rasulullah SAW ‘sebaik manusia’ kerana memberi manfaat kepada manusia lain,” katanya dalam hantaran terbaharu.
Muhammad Nadir menulis, dari kejauhan, beliau hanya mampu mengirim wang dan doa, sebagaimana rakyat Malaysia selalu sebut untuk Gaza.
“Selain menggerakkan pasukan CGM untuk berbakti selagi tulang empat kerat masih ada. Jangan rasa penat, jangan tertekan. Teruskan bekerja, bukan sahaja penduduk bumi sedang mendoakan kalian, penduduk langit juga melebarkan sayap mereka mendoakan kerahmatan dan kebaikan untuk kalian yang sentiasa meletakkan orang lain di hadapan,” katanya.