JELEBU: Lima belia Kampung Kemin Tanjung di sini bagaikan hero apabila bertindak menemani dan membantu warga emas terlantar yang ditenggelami banjir di perkampungan berkenaan sebelum bantuan sebenar tiba.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kemin, Mohd. Fauzi Sharib berkata, dia berasa syukur apabila belia berusia awal 20-an hingga 30-an berkenaan sanggup merendah banjir separas hampir satu meter bagi memberi bantuan kepada warga emas berkenaan, Yaakub Derani, 94, yang terlantar akibat sakit tua.
Menurutnya, warga emas yang merupakan pesara polis itu bagaimanapun tidak dapat dibawa keluar disebabkan aliran air yang terlalu deras serta laju, selain berisiko untuk dihanyutkan air.
“Belia ni dah mula masuk ke rumah warga emas berkenaan sekitar pukul 10 malam. Mereka menggunakan tali, saya juga menggunakan tali untuk meredah banjir dan melihat keadaan warga emas berkenaan bersama anak bongsunya, Surayati Yaakob, 48; anak lelaki Surayati berusia 16 tahun dan pembantu rumah.
“Masa tu air makin naik dan deras serta banyak lokasi yang dilanda banjir. Jadi kelima-lima belia ini sanggup menemani mangsa banjir di rumah berkenaan. Hampir tengah malam, air makin naik dan kesemuanya saling bantu membantu mengangkat warga emas ini ke atas bumbung rumah,” katanya ketika ditemui di Kampung Kemin Tanjung di sini.
Mohd. Fauzi berkata, hampir empat jam juga kesemuanya berjumlah sembilan orang berada di atas bumbung sementara menunggu pasukan bomba sampai sekitar pukul 3.30 pagi.
Menurutnya, warga emas terlantar berkenaan dibawa keluar oleh pasukan bomba menggunakan kaedah tali serta memikul mangsa sejauh lebih 200 meter.
“Warga emas berkenaan dibawa terus ke Hospital Jelebu. Dalam kejadian ini, air naik tiba-tiba seolah-olah seperti kepala air dan penduduk terutamanya yang terlantar tidak sempat dibawa keluar.
Menurutnya, dianggarkan sebanyak 25 buah rumah terjejas disebabkan banjir membabitkan 100 penduduk.
“Kali terakhir banjir di kawasan ini ialah pada tahun 2004 dan kejadian kali ini paling buruk pernah berlaku.
Terdahulu, tular di media sosial keluarga mangsa memohon bantuan pasukan penyelamat bagi menyelamatkan warga emas terlantar yang sudah ditenggelami banjir sejak malam semalam.