KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM148,200 terhadap seorang bekas kakitangan sebuah syarikat automotif tempatan yang mengaku bersalah atas 12 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM21,940 berhubung penjualan kereta.
Hakim Azura Alwi memutuskan demikian terhadap Cheah Kuang Ming, 39, dan memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak.
Bagi pertuduhan pertama hingga sembilan, Kuang Ming dipenjara antara satu dan tiga hari bagi setiap kesalahan serta denda berjumlah RM90,700.
Bagi pertuduhan ke-10, dia dipenjara tujuh hari dan denda RM27,500 manakala pertuduhan ke-11 dan 12, tertuduh dipenjara tiga dan lima hari setiap satu serta denda RM30,000.
Tertuduh yang berjawatan ketua unit kereta terpakai syarikat itu diperintah menjalani penjara 53 bulan lagi sekiranya gagal membayar denda yang dikenakan. Denda itu kemudian dijelaskan.
Mengikut pertuduhan pertama hingga kesembilan, Kuang Ming didakwa menerima rasuah RM10,440 daripada beberapa individu yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.
Wang itu sebagai balasan untuk memastikan supaya 10 buah kenderaan dijual kepada empat buah syarikat automotif lain.
Bagi pertuduhan ke-10, dia didakwa secara rasuah menerima suapan deposit tunai berjumlah RM5,500 daripada sebuah syarikat automotif ke dalam akaun miliknya sebagai upah kerana memilih syarikat tersebut bagi membeli 11 buah kenderaan.
Sementara pertuduhan ke-11 dan ke-12, tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan RM6,000 sebagai upah untuk memastikan dan mengekalkan sebuah syarikat pembangunan perisian (software developer) sebagai pembekal modul sistem utama.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di Maybank Cawangan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail di sini antara 16 Julai 2019 dan 22 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, peguam Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan pengakuan salah tertuduh pada peringkat prosiding pertama pertuduhan telah menjimatkan masa mahkamah.
“Tertuduh menyesal dengan perbuatannya, dalam kes ini wang yang diterima adalah satu komisen atau ‘tips’ namun tertuduh tidak menyangka ia adalah satu rasuah. Jadi pohon mahkamah mengenakan hukuman pemenjaraan yang singkat,” kata peguam itu.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mewakili pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman pemenjaraan lebih daripada tempoh seminggu kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh bertentangan dengan polisi kerja.
“Tertuduh tidak boleh menerima komisen kerana ia bertentangan dengan kontrak kerja,” jelas pihak pendakwaan.