KOTA KINABALU: Seorang bekas guru besar dikenakan denda RM3,000 atas kesalahan menerima benda berharga iaitu sekeping cek daripada Pusat Zakat Sabah (PZS) di Mahkamah Khas Rasuah hari ini.
Hakim, Abu Bakar Manat menjatuhi hukuman itu terhadap Majahil Majingkil,60, yang merupakan bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Buang Sayang, Kinabatangan.
Tertuduh didakwa menerima benda berharga tanpa suatu balasan iaitu sekeping cek daripada PSZ bernilai RM1,000 antara Julai hingga Oktober 2015 di SK Buang Sayang, Kinabatangan.
Wang tersebut dipercayai mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh sebagai bekas guru besar sekolah berkenaan.
Bagi pertuduhan itu, Majahil didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak lebih lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Walau bagaimanapun, tertuduh bebas tuduhan utama dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menerima benda berharga iaitu cek daripada PZS bernilai RM1,000.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Faliq Basirudin dan tertuduh diwakili peguam, Datu Baginda Datu Laja. – UTUSAN ONLINE