PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memastikan bekalan petrol dan diesel di kawasan terjejas banjir tidak terganggu.
Pengarah Penguat kuasanya, Azman Adam berkata, pihaknya sudah mengarahkan kepada semua syarikat pembekal petrol dan diesel (OILCO) supaya memastikan penghantaran bekalan bahan api dapat dilaksanakan dengan cepat ke kawasan terjejas sebagaimana diputuskan pada mesyuarat dengan OILCO di seluruh negara semalam.
“KPDNHEP bersetuju untuk memberikan bantuan pengiring kepada lori-lori OILCO yang menghantar bekalan minyak ke kawasan bencana sekali gus memastikan ia tidak terhalang dengan kesesakan lalu lintas atau lain-lain halangan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, stesen-stesen minyak yang tergendala operasi atau terpaksa ditutup akibat banjir atau lain-lain bencana perlu membuat laporan segera kepada Bahagian Penguat kuasa, KPDNHEP Negeri.
Azman berkata, syarikat minyak juga diminta melaporkan situasi semasa sebelum pukul 10 malam bermula hari ini dengan menyertakan butiran lengkap.
“Ia seperti nama dan tempat stesen minyak, tempoh masa penutupan, tempoh jangkaan beroperasi semula dan lain-lain masalah berkaitan bekalan di stesen petrol yang berada di kawasan bencana,” katanya.
Kata beliau, pihaknya juga meminta kepada OILCO yang memiliki ROVR atau Stesen Petrol Bergerak supaya menyediakan perkhidmatan itu di kawasan di mana semua stesen petrol terpaksa ditutup.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi Pusat Pengarahan Penguat Kuasaan di talian 03-88826088 atau 03-88826245. – UTUSAN ONLINE