PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan, bekalan elektrik di 169 kawasan di Selangor yang terjejas akibat banjir sudah dipulihkan, setakat pukul 1 petang ini.
Selain itu, sebanyak 121 kawasan di negeri itu belum mendapat bekalan elektrik ekoran penutupan bekalan oleh TNB demi keselamatan pengguna setempat.
“Usaha-usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan-kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat.
“Jika banjir sudah surut di kawasan anda tetapi belum menerima bekalan elektrik, hal ini disebabkan oleh pencawang elektrik yang menyalurkan bekalan elektrik ke premis anda masih belum benar-benar selamat untuk diaktifkan,” katanya melalui laman Facebook rasmi TNB Careline, hari ini.
Kawasan yang belum mendapat bekalan elektrik itu merangkumi 10 kawasan di Banting, 26 kawasan di Sepang, 74 kawasan di Shah Alam, lima kawasan di Klang dan enam kawasan di Kuala Selangor. – UTUSAN ONLINE