SHAH ALAM: Sebanyak 116 kawasan di Selangor telah mula menerima bekalan elektrik sejak pukul 11 malam tadi ekoran penutupan bekalan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) akibat banjir sejak Sabtu lalu.
Bagaimanapun, TNB menerusi Facebook TNB Careline memaklumkan, sebanyak 279 kawasan lagi belum menerima bekalan elektrik. Kawasan tersebut ialah 115 di Shah Alam, Sepang (66), Banting (54), Klang (31), Kuala Selangor (10) dan masing-masing satu kawasan di Pelabuhan Klang, Puchong dan Bangi.
Menurutnya, jika banjir sudah surut tetapi kawasan terbabit belum menerima bekalan elektrik, besar kemungkinan pencawang elektrik yang menyalurkan bekalan elektrik ke premis masih belum benar-benar selamat untuk diaktifkan.
“Usaha-usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan-kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat. Peringatan, pastikan alat elektrik yg ditenggelami air diperiksa, dibaiki dan diuji orang berkemahiran sebelum dihidupkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE