SEREMBAN: Seorang bayi perempuan berusia empat bulan berada dalam keadaan lemah dan wajahnya pucat ketika berada di bawah jagaan pengasuh sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, dalam kejadian pada pukul 4.40 petang, ibu mangsa yang berada di tempat kerja menerima panggilan telefon daripada pengasuh yang memintanya datang segera kediamannya di Perumahan Tentera Kem 15 RAMD Taman Tuanku Jaafar, Senawang di sini kerana bayi itu dalam keadaan sangat lemah.
“Sebaik sahaja tiba, ibunya mendapati keadaan kulit wajah anaknya, Luna Aralyn Amar Ridhwan, empat bulan pucat dan tiada tindak balas apabila dia cuba mengejutkannya.
“Bayi itu kemudian dihantar ke HTJ Seremban untuk mendapatkan rawatan dan apabila sampai di kecemasan, bayi berkenaan diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR),” katanya kenyataan di sini hari ini.
Jelas Nanda, lebih kurang 30 minit kemudian ibunya dimaklumkan oleh petugas hospital bahawa anaknya gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia.
“Punca kematian belum diketahui dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga laporan keputusan bedah siasat diperoleh,” katanya. – UTUSAN ONLINE