PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan menetapkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 diberikan bukan sahaja kepada ketua isi rumah (KIR) di pusat pemindahan sementara (PPS) sebaliknya diperluaskan kepada mereka yang tidak berpindah ke PPS.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kementerian juga memutuskan mangsa banjir boleh menuntut bantuan itu setiap kali bencana menimpa berbanding hanya sekali sebelum ini.
Beliau berkata, bagi menyegerakan BWI kepada mangsa banjir, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyalurkan peruntukan awal BWI sebanyak RM26.9 juta kepada semua negeri yang terjejas.
“Selaras dengan penambahbaikan BWI itu, kementerian akan memastikan NADMA mendapat peruntukan yang mencukupi untuk memenuhi keperluan sebenar. Sebelum ini, peruntukan awal RM100 juta disediakan untuk usaha pemulihan pasca banjir, termasuk pembersihan dan pembaikan kawasan perumahan dan infrastruktur awam.
“Malah, Kementerian Kewangan pada 21 Disember lalu mengeluarkan garis panduan berhubung kelonggaran kaedah perolehan untuk kerja pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam yang rosak akibat banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini katanya, kadar BWI ditingkatkan daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap KIR yang terjejas akibat banjir, manakala bantuan kematian waris mangsa pula dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, Bank Simpanan Nasional (BSN) menerusi MyRinggit-i BANJIR turut menyediakan dana RM100 juta kepada mangsa banjir iaitu pembiayaan sehingga RM10,000 (berbanding RM5,000 pada minggu lalu).
Menurutnya, pembiayaan itu ditawarkan pada kadar sifar peratus dengan moratorium bayaran balik selama enam bulan dan selanjutnya bayaran balik dalam tempoh sehingga tiga tahun.
“Pemohon boleh memohon mulai 27 Disember ini melalui https://www.bsn.com.my,” katanya.
Selain itu, Tengku Zafrul berkata, Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) turut ditingkatkan kepada RM500 juta.
Jelasnya, kemudahan pinjaman ini akan disediakan melalui bank komersial untuk perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) bagi membiayai penggantian peralatan yang rosak akibat banjir serta modal kerja.
“Pembiayaan sehingga RM500,000 akan disediakan untuk PKS manakala usahawan mikro boleh meminjam sehingga RM75,000. Tempoh pembiayaan adalah sehingga lima tahun termasuk moratorium bayaran balik selama enam bulan. Kadar pembiayaan adalah hingga 3.5 peratus setahun termasuk kos jaminan,” katanya.