PUTRAJAYA: Sejumlah RM2.18 juta bantuan segera kepada mangsa-mangsa bencana banjir disalurkan melalui sumbangan agensi-agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang diselaraskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, semua aset, bantuan dan kakitangan termasuk Komuniti Keluarga Malaysia digerakkan serta merta untuk membantu penduduk di kawasan terlibat banjir sejak semalam.
Kata beliau, sebanyak 12 kenderaan pacuan 4 roda dan mewujudkan pusat pemindahan sementara (PPS) di agensi kementerian yang mempunyai ruang dan fasiliti bersesuaian.
“Buat masa ini PPS disediakan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) di Kompleks Studio Merdeka, Hulu Kelang yang boleh menempatkan 1,000 orang mangsa banjir.
“Semua Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di negeri-negeri yang terjejas banjir sedang bekerjasama dengan pemberi perkhidmatan dan pihak bomba dalam melaksanakan usaha memulihkan perkhidmatan Internet di kawasan yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Annuar berkata, MyCreative Ventures di bawah kementerian juga menyumbangkan 2,000 unit Kotak Kasih berupa bakul makanan dengan kerjasama Shopee Malaysia untuk mangsa-mangsa banjir.
Beliau memberitahu, pada masa sama, kerjasama juga dijalinkan dengan Rumah Prihatin @Grand Seasons, Kuala Lumpur dengan bantuan sejumlah 2,000 pek makanan disediakan setiap hari dan sejumlah 50 bilik penginapan sementara untuk mangsa banjir.
“Saya menggesa orang ramai untuk terus mendapatkan maklumat terkini berkaitan situasi banjir daripada sumber yang sahih dan pihak RTM serta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan terus bekerjasama menyalurkan maklumat yang tepat dan pantas.
” Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) melalui Info on Wheels (IOW) juga akan melaksanakan hebahan awam di peringkat daerah seluruh negara dengan tumpuan di kawasan banjir dan berpotensi banjir,” katanya.-UTUSAN ONLINE