PETALING JAYA: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) amat mengambil berat tentang kesulitan yang dihadapi pelanggan individu dan perniagaan di kawasan yang dilanda banjir di seluruh negara, susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Kamarudin berkata, Bank Muamalat prihatin terhadap kesejahteraan pelanggannya yang terkesan berikutan banjir kilat yang mengakibatkan kemusnahan harta benda dan menjejaskan operasi perniagaan.
“Pelanggan yang terjejas boleh menghubungi Bank Muamalat untuk berbincang mengenai sebarang masalah berhubung urusan bayaran pembiayaan mereka sekiranya menghadapi kesulitan kewangan berikutan banjir yang melanda,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, di samping itu, pelanggan yang terjejas juga tidak akan dikenakan sebarang bayaran bagi penggantian Kad Debit Bank Muamalat mereka.
“Ini bagi meringankan beban yang dihadapi pada ketika ini,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh melayari www.muamalat.com.my atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan kami di talian 03-2600 5500.