Banjir: Unisza beri cuti bencana kepada pelajar hingga 26 Disember - Utusan Malaysia

Banjir: Unisza beri cuti bencana kepada pelajar hingga 26 Disember

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) memberikan cuti bencana selama lapan hari kepada pelajarnya susulan kejadian banjir yang melanda negara.

Naib Canselornya (Yang Menjalankan Fungsi), Prof. Dr. Fadzli Adam berkata, sepanjang tempoh 19 hingga 26 Disember itu, semua aktiviti kuliah melibatkan pelajar prasiswazah dan pascasiswazah (mod kerja kursus dan campuran) ditangguhkan buat sementara.

Katanya, langkah itu diambil sebagai tanda kecaknaan dan keprihatinan pengurusan universiti terhadap kebajikan golongan sasar yang terjejas dengan musibah.

“Bagaimanapun, bagi Fakulti Perubatan, hanya pelajar Tahun 1 sahaja yang terlibat dengan pelaksanaan cuti ini, manakala pelajar lain perlu mengikuti pembelajaran dan pengajaran (PdP) seperti biasa. 

“Pengurusan dan seluruh warga Unisza mendoakan agar semua pelajar yang terlibat dengan bencana banjir dipermudahkan urusan, dikurniakan kesabaran serta dilindungi daripada perkara yang tidak diingini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Fadzli berkata, mana-mana pelajar yang terjejas dan memerlukan bantuan boleh menghubungi Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) di talian 09-6687945 (Norsuhaila) dan 09-6687811 (Siti Aminah) di samping menghubungi pihak fakulti masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN