Banjir: Tujuh kes kecurian di Klang Utara - Utusan Malaysia

Banjir: Tujuh kes kecurian di Klang Utara

S. VIJAYA Rao menyerahkan sumbangan kepada anggota polis yang turut terjejas akibat banjir pada program gotong-royong bersama warga polis di IPD Klang Utara, Kapar di Klang Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Polis Klang Utara merekodkan sebanyak tujuh kes kecurian melibatkan mangsa banjir sepanjang tempoh dua minggu sejak 18 Disember lalu.

Kesemua kes berkenaan melibatkan kejadian pecah rumah penduduk yang dinaiki air di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, tujuh laporan diterima pihaknya itu merangkumi kehilangan harta benda mangsa.

“Kejadian itu berlaku ketika penduduk tiada di rumah dan hanya menyedari kediaman dipecah masuk selepas banjir surut.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut dan tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini,” katanya ketika ditemui pada program gotong-royong memasak bersama warga Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di sini, semalam.

Pada program itu, beliau menyerahkan sumbangan makanan kepada 97 pegawai dan anggota polis dari IPD berkenaan yang terjejas banjir.

Jelas Vijaya, sebanyak 8,622 laporan diterima daripada mangsa banjir sehingga semalam terutama melibatkan kerugian ditanggung.

“Keadaan banjir di Klang Utara terkawal dan kesemua pusat pemindahan sementara (PPS) sudah ditutup sepenuhnya.

“Sehingga kini, hanya satu kematian akibat banjir direkodkan melibatkan seorang lelaki berusia 31 tahun di Bandar Bukit Raja,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya akan menjalankan rondaan dan pemantauan berterusan di semua lokasi banjir bagi mengekang aktiviti jenayah.

Sehubungan itu, Vijaya menasihatkan penduduk sentiasa berwaspada dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir berulang serta segera menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN