KUALA TERENGGANU: Terengganu sedia menghulurkan bantuan kepada Selangor susulan banjir terburuk yang melanda negeri itu hingga menjejaskan hampir 10,000 penduduk.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebarang keperluan akan dimaklumkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
“Saya menghubungi beliau sebentar tadi dan menawarkan apa jua bentuk bantuan yang boleh diberikan kerajaan negeri Terengganu bagi menguruskan suasana kritikal yang dihadapi oleh saudara-saudara kita di Selangor.
“Beliau mengucapkan terima kasih dan akan terus berkomunikasi untuk sebarang keperluan,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook di sini hari ini.
Ibu negeri Selangor, Shah Alam hampir lumpuh ekoran banjir dengan majoriti kawasan ditenggelami air selain jalan-jalan utama yang menghubungkan bandar raya itu terputus.
Sehubungan itu, Ahmad Samsuri turut memohon doa orang ramai agar dipermudahkan urusan mangsa-mangsa banjir walau di mana jua mereka berada.