Banjir: Tengku Zafrul perjelas inisiatif, namun ruangan komen dihujani isu i-Citra - Utusan Malaysia

Banjir: Tengku Zafrul perjelas inisiatif, namun ruangan komen dihujani isu i-Citra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ruangan komen dalam laman sosial Facebook Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz terus dihujani permohonan pengeluaran wang dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Citra RM10,000.

Meskipun dalam hantaran itu Tengku Zafrul memberi penjelasan berhubung inisiatif-inisiatif ditawarkan kerajaan terhadap mangsa yang terjejas banjir, rata-rata netizen membangkitkan isu pengeluaran kali terakhir i-Citra itu.

Seorang netizen menggunakan nama Ray Boy Mike berpendapat, walaupun inisiatif diberikan itu untuk mereka yang terjejas, namun mereka yang tidak terjejas dengan bencana banjir memerlukan pengeluaran KWSP untuk bangkit semula selepas berdepan pandemik dan kenaikan harga barang keperluan asas.

“Yang tak kena banjir, tetapi merana ‘dek’ pandemik Covid-19 dan kenaikan harga barang keperluan asas macam mana Tengku (Zafrul)? Kami ini ada duit sebenarnya, banyak duit tetapi tersimpan di KWSP.

“Masa sekarang ini macam sesuai sangat nak keluarkan duit itu, Tengku Zafrul yang bijaksana, tolonglah kami Tengku Zafrul, perlu sangat ni untuk modal kebangkitan tahun depan,” jelasnya.

Seorang lagi netizen menggunakan nama Muhd Fairuz berkata, ramai sudah pencarum yang terjejas, maka segerakan terus pengeluaran tersebut.

“Sekiranya kerajaan ini perihatin, laksanakan dan tunaikan segera pengeluaran #tuntutanrakyat Rm10,000 one-off tanpa syarat dengan kadar segera,” ujarnya.

“Assalamualaikum Datuk Seri. Dengarlah suara rakyat KWSP RM10,000 one off. Rakyat tengah susah ini tolong.. .banyak yang terjejas,” kata Raja Mohd Fardyna.

“Kami nak RM10,000 one off, bukan nak menanggung hutang lagi,” ujar Syamsul Fazhie.

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ

Terdahulu, dalam hantaran di Facebook itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan terus prihatin dengan nasib individu dan perniagaan yang terjejas akibat musibah banjir yang melanda negara.

“Antara inisiatif khusus bagi individu yang terjejas adalah penangguhan atau pengurangan bayaran balik ansuran pinjaman untuk mangsa-mangsa banjir bagi pinjaman perumahan dan hartanah, kenderaan, kad kredit serta pinjaman peribadi sehingga enam bulan.

“Selain itu, RM100 juta disediakan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk Pembiayaan Kewangan Peribadi tanpa faedah sehingga RM5,000 dengan moratorium enam bulan pertama ke atas pembayaran ansuran bulanan,” katanya.

Tambah beliau, bagi peniaga Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terjejas pula, mereka dapat memanfaatkan RM30 juta oleh TEKUN untuk Pinjaman Pemulihan Banjir tanpa faedah sehingga RM10,000 bagi PKS mikro yang terkesan dengan moratorium bayaran balik diberikan untuk 12 bulan.⠀

“Kemudahan Bantuan Bencana 2022 untuk PMKS terjejas dengan peruntukan dinaikkan daripada RM200 juta kepada RM500 juta.⠀

“Saya berharap inisiatif-inisiatif ini dapat memulih semula kehidupan dan perniagaan mereka yang terjejas. InsyaAllah, dengan berkat doa dan usaha #KeluargaMalaysia, kita akan berjaya mengharungi cabaran ini,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya