SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menggesa pihak berkuasa dan bertanggungjawab menyalurkan segera bantuan kepada mangsa yang terjejas akibat banjir selepas hujan lebat selama dua hari sejak Jumaat lalu.
Istana Alam Shah menerusi satu kenyataan memaklumkan, baginda bertitah demikian selepas melihat gambar dan video yang dilaporkan menerusi akhbar dan media sosial mengenai kesukaran yang dihadapi rakyat akibat dilanda banjir.
Menurutnya, baginda menyifatkan bencana yang melanda daerah-daerah di negeri itu adalah terburuk.
“Baginda dimaklumkan banyak lokasi yang terjejas dan terputus hubungan akibat jalan raya dinaiki air, serta kawasan-kawasan kediaman yang dilanda banjir luar biasa sehingga kini.
“Baginda menyaksikan sendiri gambar-gambar dan video-video kawasan terjejas dan turut risau dan bimbang dengan kesukaran yang sedang dihadapi oleh rakyat jelata,” katanya.
Tambah kenyataan itu, walau bagaimanapun Sultan Sharafuddin terharu melihat semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh ahli masyarakat dan kumpulan sokongan yang saling bantu membantu antara satu sama lain ketika menghadapi bencana.
Dalam pada itu, baginda turut menggesa Lembaga Zakat Selangor terus menghulurkan bantuan ke pusat-pusat penempatan sementara banjir dan mengenal pasti situasi rakyat yang kritikal.
“Baginda juga menyeru agar pelan tindakan yang lebih komprehensif dikemas kini khususnya apabila berhadapan dengan fenomena bencana banjir luar jangkaan seperti ini supaya respons pantas dapat diambil serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terjaga.
“Baginda juga berdoa ke hadrat Allah agar bencana banjir ini segera berakhir dan semua urusan rakyat jelata dipermudah serta kembali seperti sedia kala,” jelasnya.