KUALA LANGAT: Walaupun rumah sendiri tenggelam dan tidak boleh dimasuki hampir tiga hari, situasi itu tidak mematahkan semangat seorang anggota bomba dan penyelamat untuk mendahulukan tugas hakiki berbanding kepentingan peribadi.
Anggota Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Balai Seksyen 15 Shah Alam, Rashidan Gulam, 25, berkata, ketika air naik lebih satu meter di rumahnya di Kampung Lombong di sini, dia ditugaskan di Bukit Lanchong bagi menyelamatkan mangsa banjir.
“Dalam hati saya langsung tidak teringat rumah dan harta benda yang tenggelam disebabkan hujan lebat sejak malam Ahad lalu. Mujur isteri dan anak memang berada dekat kampung di Sabah ketika itu,” katanya ketika menerima kunjungan peneraju Syarikat Azlan Al Amin Properties Sdn. Bhd., Mohamad Azlan Abdullah @ Ali di Kampung Lombong, hari ini.
Mengulas mengenai kritikan pihak tertentu terhadap anggota JBPM, Rashidan berkata, sebagai manusia biasa, dia berasa sedih dengan tohmahan diterima pelbagai pihak terhadap pasukan penyelamat itu.
“Kami bertungkus-lumus membantu mangsa banjir tanpa mengira rumah sendiri tenggelam atau tidak. Sememangnya saya sedih apabila dituduh tidak membantu mangsa banjir,” katanya.
Sementara itu Mohamad Azlan berkata, pengorbanan Rashidan perlu dicontohi kerana mengutamakan nyawa orang lain berbanding harta benda sendiri yang pasti rosak akibat banjir.
“Sehubungan dengan itu kita menyampaikan sumbangan barangan seperti tilam, selimut dan wang tunai kepada Rashidan atas jasa dan pengorbanannya berkhidmat kepada mangsa banjir,” katanya. – UTUSAN ONLINE