SHAH ALAM: Selain Selangor, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini memberi tumpuan kepada kerja-kerja membantu mangsa banjir di Pahang berikutan terdapat sembilan daerah di negeri itu dikenal pasti terjejas dengan bencana tersebut.
Sehingga hari ini, seramai 322 termasuk pegawai dan anggota digerakkan ke Maran, Kuantan, Raub, Kuala Lipis, Jerantut, Temerloh, Pekan, Bentong dan Bera dengan menggerakkan pelbagai aset yang mempunyai mobiliti lasak.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, koordinasi itu dilaksanakan berdasarkan tinjauan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Mentakab, Pahang, semalam.
“Pada masa ini, ATM di Pahang banyak menggerakkan aset-aset yang mempunyai mobiliti lasak dan sesuai digunakan bagi tujuan pengangkutan seperti trak tujuh dan tiga tan yang boleh meredah banjir selain bot-bot tempur ATM.
“Atur gerak ini melibatkan 116 pegawai dan 206 anggota,” katanya dalam sidang akhbar khas di Pos Kawalan Tempat Kejadian di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini hari ini.
Terdahulu, pasukan keselamatan negara itu menggerakkan lebih 900 pegawai dan anggota ATM dalam Operasi (Op) Murni yang memberi tumpuan kepada di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu dan Kelantan.
Sehingga kini, ATM dilapor mengekalkan kekuatan satu kompeni yang terdiri daripada lima pegawai dan 97 anggota diletakkan dalam keadaan bersiap siaga di setiap negeri bagi digerakkan ke lokasi terjejas banjir sekiranya terdapat keperluan tambahan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, tumpuan masih diberikan kepada kawasan Seksyen 25 yang memasuki proses pemulihan dan pembersihan apabila sejumlah 500 pegawai dan anggota digerakkan bagi membantu membersihkan fasiliti awam seperti rumah ibadah serta sekolah.
“Untuk di kawasan Taman Sri Muda ini dan Kampung Bukit Lanchong, kita dalam proses bantuan pasca banjir. Jika sebelum ini seramai 109 keanggotaan yang kita atur gerak, hari ini ATM buat penambahan menjadikan 500 anggota untuk membantu kerja pembersihan.
“Aset terlibat, kita atur gerak adalah backhoe dan tipper serta aset tambahan lain yang sesuai dan kita selaraskan kerja-kerja ini dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA),” jelasnya.
Sementara itu, dalam perkembangan di Negeri Sembilan, Affendi memaklumkan kerja-kerja pembinaan jambatan sementara iaitu Compact Bailey Single Lane (CB 200) di Kampung Bemban, Simpang Durian di Jelebu.
“Pembinaan jambatan ini untuk kemudahan penduduk bagi 28 rumah di kampung berkenaan yang terputus hubungan. Kerja-kerja pembinaan jambatan akan dimulakan setelah proses tambak tebing selesai dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE