DENGKIL: Operasi kutipan sampah banjir dipertingkat DEB Waste Management Sdn. Bhd bermula semalam.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Datuk Abd. Hamid Hussin berkata, air surut di beberapa kediaman penduduk sejak petang semalam dan mereka sudah mula membersihkan dan mengeluarkan barangan yang rosak di luar kawasan rumah.
Beliau berkata, MPSepang mencadangkan kepada pihak kontraktor untuk mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk dijadikan sebagai pusat sementara bagi melonggok barang letrik dan perabot yang rosak sebelum dihantar ke kawasan pusat pelupusan bagi mengelak kesesakan longgokan sampah di kediaman penduduk.
“Ketika ini Tapak Pelupusan Sampah Dengkil menjadi sesak disebabkan banyak lori yang keluar masuk untuk membuang sampah sehingga mengambil masa lama untuk menunggu giliran.
“Sejak semalam kutipan sampah di Dengkil dan Salak meningkat 10 kali ganda berbanding kurang dari satu tan pada hari biasa,” katanya kepada pemberita ketika menyertai gotong-royong membersih Surau Al-Jabar di Taman Emas, di sini hari ini.
Program tersebut turut disertai lebih 50 kakitangan MPSepang manakala beberapa kumpulan sukarelawan lain turut membantu membersih kediaman penduduk seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Dalam perkembangan sama, Abd. Hamid berkata, sebanyak 60 tan sampah dihantar ke pusat pelupusan dan dijangka jumlahnya meningkat selepas semua penduduk pulang ke rumah. – UTUSAN ONLINE