SHAH ALAM: Hujan dari malam tadi membuatkan penduduk di Selangor kembali bimbang mengenai kenaikan paras air di kawasan perumahan masing-masing.
Seorang penduduk di kawasan Batu 3, di sini, Mohd. Najib Asri, 40, berkata, dia melihat paras air di Sungai Damansara yang terletak di kawasan berhampiran naik pagi tadi.
Katanya, pemeriksaan dilakukan di kawasan berhampiran pasar raya Giant di Seksyen 13, di sini juga mendapati, beberapa jalan raya sudah mula dinaiki air dan kenderaan terpaksa menggunakan laluan berlawanan arus bagi mencari jalan keluar.
“Giant banjir lagi, jadi jalan tutup. Laluan di Acapella juga jadi laluan dua hala apabila pengguna jalan raya terpaksa mengubah haluan bagi mengelak laluan banjir,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Twitter rasmi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pagi ini mengeluarkan makluman segera memohon orang ramai bagi mengelak melalui kawasan laluan Lanchong Jaya dan Seksyen 28 berhampiran pasar raya Hero ekoran kenaikan paras air.
“Paras air sedang meningkat di Laluan Lanchong Jaya dan Seksyen 28 berhampiran pasar raya Hero.Mohon orang ramai untuk mengelakkan melalui kawasan tersebut dan berhati-hati semasa berada di atas jalan raya,” katanya.
Sementara itu, di laman media sosial dan kumpulan WhatsApp dibanjiri dengan video dan gambar laluan yang dinaiki air. Antaranya di kawasan Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Bukit Jelutong. – UTUSAN ONLINE