PETALING JAYA: Kepadatan penduduk di Taman Sri Muda, Shah Alam di sini antara punca kelewatan bantuan penyelamat pada hari pertama bencana banjir melanda kawasan tersebut.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, penempatan padat di lokasi tersebut adalah cabaran bagi pihak penyelamat untuk penyelarasan memindahkan mangsa.
“Pada hari pertama saya lihat koordinasi semua agensi agak perlahan namun pada hari kedua koordinasi telah digerakkan.
“Ketika itu banjir dalam paras bahaya dengan kepadatan penduduk dari rumah teres dan pangsa yang berbeza berbanding proses pemindahan di negeri lain,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Operasi Bencana di Taman Sri Muda, Shah Alam di sini, hari ini.
Ditanya mengenai talian kecemasan 999 yang gagal dihubungi pada hari pertama bencana banjir, Acryl Sani memberitahu, polis mendapatkan maklumat lanjut berkaitan perkara itu.
“Panggilan 999 tidak seharusnya tidak dapat dihubungi, jadi kita akan dapatkan maklumat terperinci berkaitan perkara itu,” ujar beliau.
Acryl Sani turut menzahirkan penghargaan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan penduduk yang membantu operasi serta bantuan.
“Kami terhutang budi, mereka ini sebenarnya wira tidak didendang yang banyak membantu agensi-agensi dalam situasi banjir yang dihadapi,” katanya.- UTUSAN ONLINE