JOHOR BAHRU: Melihat kesan banjir di beberapa negeri terutama Selangor dan Pahang yang terjejas teruk, penduduk di kawasan risiko dilanda bah di negeri ini mula membuat persediaan menghadapi bencana itu.
Antara kawasan yang sering dinaiki air adalah Kampung Sepakat Baru, Skudai, di sini yang menenggelamkan ratusan buah rumah dan kenderaan milik penduduk pada awal Januari lalu.
Seorang suri rumah, Roshaslinda Makhtar, 35, berkata, ketika banjir lepas, kesemua penduduk tidak menyangka air Sungai Skudai yang melimpah ke rumah mereka berlaku dalam sekelip mata sehingga tidak berupaya menyelamatkan apa-apa melainkan diri sendiri.
“Masa itu ramai penduduk tergamam dan tidak dapat berbuat apa-apa melainkan menyelamatkan diri keluar dari rumah setelah terdengar jeritan jiran-jiran bahawa air sungai sudah melimpah.
“Saya bersama suami dan enam anak terus ke tempat yang tinggi bersebelahan dengan loji rawatan air yang tidak jauh dari rumah dengan menaiki lori. Ketika itu tiada perkara lain yang saya fikir kecuali keselamatan kami sekeluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Hujan lebat yang berterusan selama beberapa hari pada penghujung tahun lalu mengakibatkan air Sungai Skudai melebihi paras bahaya sebelum melimpah sehingga menjejaskan beberapa lagi kawasan penempatan di sekitar itu.
Sementara itu, Roshaslinda yang kerugian kira-kira RM15,000 dalam bencana lalu kini mengambil langkah awal dengan menempatkan barangan tertentu pada kedudukan lebih tinggi di rumahnya selain tidak membeli perabot baharu sebagai langkah berjaga-jaga.
Seorang lagi penduduk, Siti Norasidah Mohd. Saharil, 18, pula berharap tidak berlaku lagi banjir di kampung tersebut, namun tetap berwaspada dan peka sekiranya hujan lebat berterusan.
“Kami pernah berhadapan bencana itu jadi memang faham sangat apa yang dihadapi mangsa-mangsa di negeri lain ketika ini. Sebab itu kami cuba melakukan persiapan awal bagi mengelak kesan lebih teruk sambil mengharapkan tidak berlaku banjir teruk kali ini,” katanya.
Dalam pada itu di Kota Tinggi, penduduk Taman Aman, Mohd. Azizie Kassim, 45, berkata, banyak barang-barang terutama peralatan elektrik telah dinaikkan ke tingkat dua rumahnya.
“Kami penduduk Taman Aman sudah siap sedia sebarang kemungkinan berlaku banjir. Apa yang paling penting dokumen-dokumen dan nyawa ahli keluarga, tidak dinafikan kami sudah lali dengan banjir yang berlaku sebab itu untuk mengurangkan kerugian kami telah bersiap awal menyimpan barang di tempat tinggi,” katanya. – UTUSAN ONLINE