Banjir: Penduduk di enam kampung di Dungun berisiko pindah - Utusan Malaysia

Banjir: Penduduk di enam kampung di Dungun berisiko pindah

MOHD. ROSMAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Banjir gelombang ketiga yang diramalkan melanda Terengganu pada Khamis dan Jumaat ini dijangka melibatkan lebih 1,000 penduduk.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd. Rosman Abdullah berkata, kesemua mereka daripada enam kampung di pedalaman Dungun iaitu Kampung Pasir Raja, Kampung Syukur, Kampung Jongok Batu, Kampung Minda, Kampung Jerangau dan  Kampung Kuala Jengai.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan kemungkinan banjir dan segera berpindah jika diarahkan pihak berkuasa.

“Jauhi kawasan rendah atau sungai sepanjang tempoh itu dan saya minta ibu bapa memerhatikan anak-anak bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

“Kita belum boleh menjangkakan sama ada banjir gelombang ketiga ini lebih teruk berbanding sebelumnya kerana keadaan itu bergantung kepada jumlah hujan yang diterima,” katanya kepada pemberita selepas Program Derma Darah di sini hari ini.

Semalam, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) memaklumkan paras Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja akan melepasi tahap bahaya pada Khamis dan Jumaat ini sekali gus menyebabkan kawasan rendah di sekitarnya berisiko dilanda banjir.

Mohd. Rosman berkata, seramai 252 pegawai dan 2,509 anggota dari enam agensi termasuk polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersiap siaga bagi menghadapi banjir gelombang ketiga.

Dalam pada itu, katanya, jumlah aset di Terengganu ketika ini merangkumi 120 kenderaan pacuan empat roda diikuti 156 bot, enjit bot (166), jaket keselamatan (1,893), lori (61), bas (tiga), van (49), ambulans (22), khemah (84) dan set generator (129). – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya