KUANTAN: Kejadian banjir di negeri ini merekodkan korban pertama apabila seorang lelaki ditemukan lemas selepas dilaporkan terjatuh daripada motosikal semasa meredah air di Jalan Pulau Manis berhampiran Kubur Cina Gambang di Gambang di sini.
Mayat mangsa, M. Gunalan, 38, ditemukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada pukul 2.37 petang pada jarak 200 meter dari lokasi mangsa dipercayai dihanyutkan arus air.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Hilmi Kashfi Mat Zali berkata, balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas. menerima panggilan kecemasan dari Balai Polis Gambang pada pukul 12.40 petang.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang menaiki motosikal jenis EX5 bertindak menyeberangi arus air di atas jalan untuk pulang ke rumahnya yang menghala ke jalan Kuantan-Segamat.
“Oleh kerana arus deras, mangsa tidak dapat mengawal keadaan dan bersama-sama motosikalnya telah dihanyutkan sehingga ke dalam kebun kelapa sawit yang berhampiran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Hilmi berkata, mangsa merupakan kes kematian pertama akibat banjir setakat ini.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa dengan menggunakan teknik Water Surface Rescue dengan melibatkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba Kuantan dan Pasukan Bomba Sukarela Gambang seramai 24 anggota dan tiga jentera.
“Mangsa telah diserahkan kepasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk di bawa ke Unit Forensik, Hospital Tengki Ampuan Afzan (HTAA) bagi bedah siasat,” katanya.-UTUSAN ONLINE