Banjir: Orang Asli trauma pulang ke rumah - Utusan Malaysia

Banjir: Orang Asli trauma pulang ke rumah

MASYARAKAT Orang Asli membina penempatan sendiri di atas bukit berikutan rumah mereka terjejas banjir di Kampung Orang Asli Bukit Tampoi Seberang, Dengkil, Selangor. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGKIL: Walaupun sudah lebih seminggu banjir berlalu dan air di persekitaran rumah kembali surut, namun ada penduduk yang enggan pulang serta mengambil keputusan tinggal sementara di dalam khemah kerana bimbang kejadian bah berulang kembali.

Tinjauan di Kampung Orang Asli Bukit Tampoi Seberang di sini mendapati, sebanyak 21 khemah didirikan di tempat tinggi di kampung tersebut dengan lokasinya berhampiran kawasan rumah mereka.

Penduduk turut memaklumkan, hampir setiap hari mereka dikunjungi individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang menghulurkan sumbangan sekali gus memastikan bekalan makanan tidak putus-putus di situ.

Mangsa banjir, Eddi Jampo, 51, berkata, dia tinggal di khemah sejak kampung tersebut dilanda banjir pada 18 Disember lalu dan enggan pulang ke rumah berikutan bimbang berlaku bah sekali lagi.

“Saya sudah bawa pulang sebahagian barangan dari khemah ke rumah, namun hujan pula pada Isnin baru-baru ini dan air di luar rumah naik ke paras atas buku lali.

“Ditambah terbaca berita berlaku banjir kilat di Kajang kerana hujan lebat. Jadi, saya pindahkan barangan ke khemah semula kerana bimbang kejadian bah berulang sekali,” katanya ketika ditemui di sini.

Eddi yang juga pekerja landskap di Putrajaya berkata, kampung tersebut sering dilanda banjir tetapi hanya setakat di luar rumah serta tidak memasuki ke rumah penduduk, namun kejadian baru-baru ini adalah yang terburuk kerana air naik hampir mencecah ke siling.

Tambahnya, sewaktu banjir melanda, golongan warga emas dan kanak-kanak dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bukit Tampoi dan masih tinggal di sana sementara rumah mereka dibersihkan.

Suri rumah, Nurazila Abdullah, 48, yang juga ibu kepada empat anak berkata, penduduk masih trauma dengan kejadian banjir baru-baru ini dan mereka menjangkakan tinggal sementara di khemah sehingga hujung tahun ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya