KULAI: Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) mengenal pasti beberapa kawasan titik panas berlakunya banjir di daerah ini yang perlu diberi tumpuan ketika berlakunya fenomena angin Monsun Timur laut di negeri ini.
Yang Dipertuanya, Natazha Hariss berkata, antara kawasan penempatan terlibat ialah Taman Aman di Senai dan kawasan perkampungan di Sengkang yang terletak berhampiran tapak pembangunan baharu di sekitar kawasan terbabit yang sedang dibangunkan.
“Taman Aman di Senai ini kita tahu ia adalah taman perumahan lama dan di sekitarnya terdapat pembinaan taman baharu. Ini akan menjadi fokus kami berhadapan monsun kali ini, sebagai langkah persediaan, parit dan aliran air diselenggara bermula minggu ini.
“Kita turut sarankan pemaju taman perumahan baharu menyediakan takungan air supaya limpahan tidak beri kesan kepada Taman Aman,” katanya selepas Program Kempen Jangan Gunalah Beg Plastik Sekali Guna sempena sambutan Hari Kitar Semula Peringkat Negeri, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE