Banjir: LZS salur zakat selaras titah Sultan Selangor 

Banjir: LZS salur zakat selaras titah Sultan Selangor 

KHADIJAH Mohd. Khambali @ Hambali (dua dari kanan) menyerahkan plakad sebagai simbolik pemberian bantuan Zakat Selangor Peduli kepada Mohd. Shahzihan Ahmad dalam  Program Pemutihan Maahad Tahfiz Selangor di Bangunan Sultan Idris Shah di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan sumbangan RM600 kepada ketua keluarga fakir dan miskin termasuk bukan asnaf yang terjejas dengan bencana banjir di Selangor melibatkan peruntukan zakat sebanyak RM1,000,000. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop, pihaknya sedang mengumpul maklumat ketua keluarga dengan kerjasama Jawatankuasa Bencana Daerah (JBD) bagi menyelaraskan penyaluran bantuan seterusnya meringankan beban mangsa terlibat.

“Sebanyak RM250,000 lagi diperuntukkan bagi sumbangan makanan kering dan barangan keperluan asas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah-daerah yang menempatkan mangsa banjir.

“Sumbangan tersebut menggunakan dana pengurusan operasi amil sebagai tanda keprihatinan amil zakat terhadap mangsa banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Bantuan Zakat Selangor Peduli bagi Program Pemutihan Maahad Tahfiz Selangor di Bangunan Sultan Idris Shah, di sini hari ini.

Penyerahan tersebut disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Prof. Madya Dr. Khadijah Mohd. Khambali @ Hambali kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad.

Dalam program tersebut sebanyak RM3,350,000 disalurkan bagi membantu 350 buah maahad tahfiz bernaung di bawah Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang memerlukan bantuan kewangan untuk menampung kos penyediaan dokumen Kebenaran Merancang dan Pelan Bangunan serta yuran berkaitan.

Terdahulu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengarahkan LZS untuk terus menghulurkan bantuan ke pusat-pusat penempatan sementara banjir dan mengenal pasti situasi rakyat yang kritikal.

Baginda juga menyeru agar pelan tindakan yang lebih komprehensif dikemaskini khususnya apabila berhadapan dengan fenomena bencana banjir luar jangkaan seperti ini supaya respons pantas dapat diambil serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terjaga.

Saipolyazan berkata, LZS turut menyediakan 5,000 pek makanan bermasak sehari yang akan diagihkan kepada semua PPS di bawah koordinasi pejabat daerah dan bantuan tersebut akan diteruskan untuk tempoh lima hari. 

“Semalam, penghantaran 5,000 pek pertama telah dilakukan dan dihantar ke Pejabat Daerah Klang yang kemudiannya diagihkan ke PPS terlibat. Selain itu bagi memudahkan dan mempercepatkan bantuan tambahan kepada mangsa banjir terjejas, sebanyak RM90,000 diperuntukkan untuk Tabung Kecemasan Banjir LZS. Bantuan ini akan ditambah berdasarkan keperluan semasa,”katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya