Banjir: Lebih 20 dron diaktifkan pantau, hantar bantuan kritikal  - Utusan Malaysia

Banjir: Lebih 20 dron diaktifkan pantau, hantar bantuan kritikal 

ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam membantu pengendali dron sebagai persediaan sebelum diaktifkan di Selangor. - IHSAN MERAQUE SERVICES
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lebih 20 unit dron diaktifkan bagi operasi bantuan pemulihan banjir termasuk kerja-kerja pemantauan dan penghantaran bekalan kritikal seperti ubat-ubatan, makanan serta bekalan kuasa (power bank) di beberapa kawasan di Selangor. 

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam satu kenyataan memaklumkan, usaha menerusi Pasukan Petugas Kecemasan Perkhidmatan Dron Khas (PTK2Dron) itu diselaraskan Teknologi  Park Malaysia (TPM) dengan sokongan beberapa syarikat dron tempatan sebagai khidmat dan tanggungjawab sosial korporat mereka.

Menurutnya, pengendalian dron itu diuji lebih awal di Perak pada Oktober lalu dan didapati adalah efektif dari segi penjimatan masa serta kos sebagai alternatif kepada kaedah logistik seperti menggunakan bot. 

Jelasnya, dron-dron ini juga diuji untuk penghantaran ke lokasi yang mencabar dari segi geografi, termasuk ke ruang pendaratan yang sempit dan terhad dengan dilengkapi kamera visi malam dan pengesanan haba. 

“Syarikat-syarikat teknologi dron yang terlibat adalah VStream Revolutions, Meraque Services, Alphaswift Industries, Aerodyne Group dan GeoPrecision bagi usaha pemantauan khususnya di  daerah Petaling dan Kuala Langat. 

“Syarikat Meraque bersama responden pertama dan Pharmaniaga menguruskan operasi penghantaran ubat-ubatan menggunakan dron di  kawasan yang terjejas akibat banjir di Selangor antaranya di Taman Sri Muda, Kampung Lombong dan Lanchong, Kampung  Lanchang Jaya, Taman Alam Indah, dan Kampung Jalan Kebun,” katanya hari ini.

Selain itu, kementerian itu memaklumkan, pesawat udara tanpa pemandu (UAV) juga melakukan  beberapa perjalanan ulang-alik dalam penghantaran barangan kritikal dengan muatan sehingga 10 kilogram (kg). 

Kenyataan itu menjelaskan, Pasukan PTK2Dron bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak untuk menggerakkan  bantuan segera, di samping memudah cara proses antara pengendali dan penyedia perkhidmatan dron dengan pihak berkuasa berkaitan dan memastikan taraf keselamatan dan teknikal dicapai.  

“Usaha pemantauan dan penghantaran bekalan kritikal ini dilaksanakan di Selangor buat masa ini  tertakluk kepada keperluan dari semasa ke semasa, namun bersedia menghulurkan bantuan di lain-lan negeri yang terjejas akibat banjir mengikut kesesuaian, permintaan dan keperluan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Perkhidmatan dron itu adalah usahasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Selangor, Majlis Bandaraya  Shah Alam, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Unit Bencana Negeri Selangor dengan kerjasama Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia dan Kementerian Pengangkutan bagi tujuan kelulusan penerbangan dron. 

Untuk rekod, PTK2Dron diperkukuh menerusi penyelarasan inisiatif Sandbox Teknologi dan  Inovasi Nasional (NTIS) yang dilancarkan kementerian ini pada tahun lalu.

Inisiatif itu sebagai menyokong syarikat syarikat dron mendapatkan sokongan teknikal, pengawal seliaan dan tapak pengujian,  selain menyediakan mereka dengan kes penggunaan khas termasuk pengurusan bencana dan  penghantaran bekalan kecemasan. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya