IPOH: Khutbah Jumaat di masjid-masjid di negeri ini hari ini menyentuh mengenai banjir teruk yang melanda beberapa negeri dengan menyifatkan ia sebagai musibah yang turut ditafsirkan sebagai teguran daripada Allah.
Teks khutbah yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bertajuk ‘Musibah Banjir: Ujian dan Peringatan Ilahi’ mentakrifkan makna perkataan musibah yang berasal daripada bahasa Arab iaitu ‘asoba’ bermaksud menimpa atau membinasakan.
Menurut al-Quran, kata khutbah itu, musibah adalah bentuk ujian dan teguran dari Allah SWT melalui bencana, kemarau, banjir, ribut, tanah runtuh, kehilangan harta dan pelbagai lagi.
“Musibah sebagai satu bentuk ujian yang ditimpakan kepada manusia agar manusia menginsafi kewujudan Allah SWT, bermakna musibah secara hakikatnya ialah ujian dan teguran Ilahi agar melahirkan keinsafan untuk mengembalikan manusia mengenali kebesaran Allah yang maha berkuasa.
“Khutbah mendoakan agar musibah banjir yang sedang melanda di beberapa kawasan di negara kita, turut ditafsirkan sebagai teguran daripada Ilahi untuk kita secara ikhlas melakukan pemeriksaan diri dan berani mengaku kesilapan-kesilapan yang mungkin telah kita lakukan atau kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan oleh orang-orang yang terdahulu daripada kita.
“Ketika diamanahkan tanggungjawab untuk mengurus bumi, gunung, hutan, sungai, tasik dan pantai. Lakukanlah langkah-langkah pembetulan agar orang-orang yang tidak berdosa terhindar daripada menjadi mangsa kepada bencana yang lebih besar pada masa akan datang,” kata khutbah berkenaan.
Khutbah juga menyentuh mengenai mangsa banjir yang kehilangan rumah, harta benda, sumber pendapatan, tanaman dan ternakan malah ada yang kehilangan nyawa serta ahli keluarga dan mendoakan mereka dikurniakan kesabaran, ketabahan, kegigihan dan kekuatan melalui detik-detik ujian yang berat.
“Melalui media terutama saluran media sosial kita dapat mengikuti pengalaman dahsyat dan ngeri yang dialami oleh mangsa-mangsa banjir.
“Rintihan dan tangisan kesengsaraan mangsa-mangsa banjir terutama orang-orang tua, kanak-kanak, wanita hamil dan ibu yang sedang mendakap bayi yang memerlukan susu yang berada dalam kesejukan di atas bumbung-bumbung bangunan sangat menyayat hati. Mangsa-mangsa banjir ini amat wajib dihulurkan pertolongan,” kata khutbah berkenaan.
Kandungan khutbah juga mengucapkan terima kasih atas pengorbanan dan kesediaan sebahagian daripada masyarakat yang turun padang membantu mangsa banjir dan mereka yang telah memberi pelbagai sumbangan berbentuk idea, perkhidmatan, tenaga, harta, wang ringgit serta sokongan moral.
Dalam masa yang sama, kandungan teks khutbah turut menasihatkan agar masyarakat menghulurkan bantuan dan pertolongan dengan hati yang ikhlas dan niat yang suci semata-mata kerana Allah SWT.
“Hindari perbuatan menunjuk-nunjuk, melakonkan perbuatan untuk dirakamkan oleh jurufoto dengan niat mendapat siaran media atau hasrat mendapat pujian hingga mengakibatkan kita bakal tergelincir bersifat riak.
“Sedarilah Allah SWT Maha Mengetahui dan Maha Melihat,” kata khutbah tersebut.