PETALING JAYA: Semua pihak perlu meletakkan diri mereka seperti mana nasib dialami mangsa banjir jika mahu memahami nasib dan masalah dihadapi di samping mengambil kira pandangan mereka.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, masyarakat perlu faham dan sedar di samping mendengar dan melihat kedudukan mangsa yang terkesan dengan banjir.
“Rakyat menghadapi kesusahan. Ramai kini kerugian besar dan banyak mengalami kerosakan seperti barangan elektrik, elektronik, kereta, buku, makanan, barangan harian dan peribadi.
“Bagaimana mangsa-mangsa banjir nak melalui dugaan ini? Bagi saya, kita perlu meletakkan diri kita dalam keadaan mangsa-mangsa banjir dan memahami sudut pandangan mereka. Kita perlu faham. Kita perlu sedar. Kita perlu dengar dan lihat,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.
Dalam pada itu, Najib memaklumkan beliau mengadakan tinjauan dan menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir di Taman Sri Mudah, Shah Alam.
Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, proses pembersihan amat diperlukan dan perlu disegerakan di sini untuk elak kemungkinan wabak tercetus.
“Harap pihak berkuasa tempatan dan kerajaan pusat akan memberi lebih tumpuan untuk segerakan proses pembersihan dan pemulihan.
“Selain itu, sistem wayar elektrik setiap rumah yang ditenggelamkan air banjir wajar diperiksa. Mungkin TNB boleh membantu dari aspek ini? Bantulah rakyat sebaik-baiknya “ katanya.