Banjir diramal di enam daerah Johor - Utusan Malaysia

Banjir diramal di enam daerah Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Enam daerah di negeri ini diramal banjir dengan Mersing dan Kota Tinggi diletakkan pada tahap amaran bahaya yang menandakan hujan lebat berterusan diramalkan berlaku sepanjang hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor, Penolong Pesuruhjaya (PA) Kamal Mokhtar berkata, daerah lain adalah Batu Pahat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru yang memerlukan penduduk di kawasan berkenaan untuk sentiasa berhati-hati.

“Bencana banjir yang diramalkan berlaku di enam daerah itu melibatkan sejumlah 21 sungai dan 11 lembangan sungai. Sementara itu dua sungai di negeri ini juga telah diletakkan pada kategori amaran dan waspada.

“Sungai Skudai di Kampung Pasir, Johor Bahru diletakkan pada status amaran dengan paras air menunjukkan tren menaik, manakala Sungai Kesang di Telok Rimba, Tangkak diletakkan pada paras waspada dengan tren tiada penambahan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Semalam, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah agar semua agensi berkaitan bersiap siaga dan bertindak pantas dalam usaha penambatan banjir susulan laporan ramalan awal banjir yang dijangka pada 1 Januari ini.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria mengingatkan komuniti maritim terutama nelayan agar berwaspada dengan keadaan cuaca dan laut ketika ingin melakukan aktiviti di laut. 

“Jika ingin turun ke laut, mereka perlu melakukan beberapa persediaan iaitu mendapatkan maklumat ramalan cuaca terlebih dahulu dan memastikan peralatan keselamatan seperti jaket serta pelampung keselamatan sentiasa dalam keadaan baik. 

“Komuniti maritim juga digalak untuk menghubungi Pejabat Maritim Malaysia berhampiran bagi memaklumkan aktiviti dan lokasi yang akan mereka lakukan di perairan seperti mana yang diamalkan oleh komuniti maritim di Jepun dan negara maju,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya