SHAH ALAM: Keadaan banjir di Seksyen 18, 19 dan 20 di sini masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk surut walaupun hujan lebat beransur reda selepas turun selama lebih 36 jam.
Menurut seorang penduduk, Ramlan Kassim, 48, air mula naik lebih dua meter pada pukul 8 malam tadi.
“Saya bernasib baik tinggal di pangsapuri tingkat dua. Namun penduduk di kawasan rendah sudah pasti air memasuki rumah mereka.
“Setakat ini air masih naik dan kawan-kawan saya masih terperangkap di luar kawasan perumahan ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara seorang penduduk Seksyen 20, Yusof Basiran, 58, berkata, sepanjang tinggal di kawasan tersebut sejak 30 tahun lalu inilah kejadian banjir yang paling teruk.
Katanya, sebelum ini banjir hanya melibatkan kenaikan 0.5 meter dan tidak melimpah ke dalam rumah.
“Namun sejak kelmarin, air mula naik sedikit demi sedikit hingga menyebabkan saya dan ahli keluarga berpindah ke tingkat atas rumah.
“Apa yang membimbangkan jika hujan tidak berhenti air akan terus naik. Anak saya pun terperangkap di luar kerana tidak dapat masuk ke kawasan Seksyen 20 dan terpaksa bermalam di luar,” katanya.
Seksyen 18, 19 dan 20 merupakan lokasi hospital swasta seperti KPJ Health Care, Salam Medical Centre selain terdapat Hotel De Palma, Pusat Membeli Belah Ole Ole dan Pusat Kesihatan.